Saturday, 27 August 2011

KKLW DAKWA TUDUHAN BAR COUNCIL TIDAK BERASAS



Oleh : NADZERAH ABDULLAH

PENJELASAN berhubung kenyataan Presiden Majlis Peguam dan artikel dalam laman web bertajuk ‘Government Must Consult All Stakeholders, Especially Orang Asli On Proposed Orang Asli Land Titles Policy.’

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas oleh pihak Bar Council berhubung dakwaan bahawa pihak kerajaan tidak berbincang dengan masyarakat Orang Asli mengenai Dasar Pembangunan dan Pemberimilikan Tanah Kepada Orang Asli (DPPTOA).

Adalah dikhuatiri dakwaan tidak benar tersebut akan memberi maklumat yang salah dan mengelirukan dalam usaha KKLW membangunkan masyarakat Orang Asli. Melalui artikel bertarikh 24 Ogos 2011, terdapat 5 (lima) isu utama yang telah dibangkitkan iaitu:-

i. Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Kepada Orang Asli (DPPTOA) digubal tanpa berunding dengan pemimpin masyarakat Orang Asli terlebih dahulu.

Kronologi perancangan penggubalan Dasar Tanah Orang Asli telah bermula sejak 1990-an selaras dengan resolusi Persidangan Nasional Mengenai Hak Tanah dan Jati Diri Orang Asal Se-Malaysia pada 2 dan 3 September 1996 yang telah dianjurkan oleh Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dengan kerjasama Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM), Universiti Malaya dan Jaringan Orang Asal Malaysia (JOAS).

Persidangan tersebut antara lain mencadangkan pemberimilikan tanah hendaklah diberi keutamaan supaya Orang Asli mendapat faedah daripada limpahan pembangunan.

Daripada tahun 1996 hingga 2004 disusuli pula dengan pelbagai bengkel, seminar, roadshow dan konsultasi yang dianjurkan oleh pihak kerajaan melibatkan pewakilan pemimpin masyarakat Orang Asli bagi merangka deraf dasar tersebut.

Pada 10 hingga 12 Mac 2005, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah menganjurkan ‘Persidangan Kebangsaan Dasar Pembangunan Orang Asli Di Masa Hadapan’ melibatkan NGO’s Orang Asli iaitu POASM yang dipimpin oleh Majid Suhot; termasuk enam hingga sepuluh orang batin mewakili setiap negeri.

Pada 27 Julai 2006, JAKOA telah mengadakan perbincangan dengan wakil POASM mengenai dasar tersebut. Tiada keputusan dibuat mengenai dasar tersebut memandangkan POASM masih mengekalkan tuntutan untuk mendapatkan tanah yang lebih luas dan hak milik kekal.

Pada Januari hingga Februari 2007, JAKOA sekali lagi telah mengadakan sesi konsultasi bersama masyarakat Orang Asli seluruh Semenanjung Malaysia yang turut disertai pemimpin dan cendiakiawan Orang Asli seperti Prof. Dr. Juli Edo, Majid Suhot, dan Dato’ Osman Bungsu dan Batin Jamil anak Kantan.

Sesi konsultasi ini bertujuan mendapatkan maklumbalas awal berhubung DPPTOA. Seterusnya cadangan DPPTOA telah dibentangkan beberapa kali dalam Majlis Penasihat Kebangsaan Masyarakat Orang Asli (MPKPMOA) yang dipengerusikan oleh YB. Menteri KKLW dan turut dianggotai oleh cendiakiawan iaitu Dato’ Suki Mee, Athony William Hunt dan NGO’s Orang Asli.

ii. Kerajaan Malaysia tidak menghormati prinsip Deklarasi Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Masyarakat Orang Asli (UNDRIP)

Deklarasi UNDRIP telah diumumkan pada 13 September 2007, bagaimanapun ia bukan satu undang-undang antarabangsa yang rasmi (legal binding). Justeru UNDRIP tidak mewajibkan pihak Kerajaan Malaysia menuruti secara mutlak kandungan deklarasi tersebut. Malahan perkara ini juga belum dibawa ke Parlimen.

Pada umumnya pengurusan dan pembangunan masyarakat Orang Asli di Semenanjung sejak RMK8 sehingga RMK9 sejumlah RM2.44 bilion. Manakala peruntukkan di bawah RMK10 peruntukan sejumlah RM96.2 juta dan peruntukan pembangunan sejumlah RM9.7 juta. Peruntukkan yang disediakan melangkaui tuntutan yang terkandung dalam UNDRIP.

iii. Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Kepada Orang Asli (DPPTOA) perlu dikaji semula.

Pada 4 Disember 2009. Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) telah meluluskan DPPTOA. Mulai Februari hingga Mac 2010 KKLW telah mengadakan siri perbincangan dan roadshow kepada NGO-NGO dan pemimpin masyarakat Orang Asli.

Pada 6 Mac 2010 JAKOA telah membentangkan kertas berhubung DPPTOA di dalam Konvensyen Tanah dan Akta Orang Asli Semenanjung Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Siswazah Orang Asli.

Pada 17 Mac 2011, segelintir masyarakat Orang Asli telah menyerahkan Memorandum Bantahan mengenai DPPTOA dan meminta kajian semula diadakan. Seterusnya pada 6 April 2010, JAKOA mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Kajian Semula DPPTOA bertujuan menambahbaik dasar ini.

Peserta-peserta bengkel terdiri dari Ketua Masyarakat Orang Asli, Pemimpin Persatuan Orang Asli, Pengerusi JKKK Orang Asli, Belia-Beliawanis Orang Asli, Cerdik Pandai Orang Asli dan NGO. Majlis turut dihadiri oleh Majlis Peguam yang bertindak mewakili masyarakat Orang Asli.

KKLW juga telah mengadakan Mesyuarat Konsultasi Isu Tanah Orang Asli dengan Kerajaan-kerajaan Negeri seperti Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Kedah bagi membincang dan menyelesaikan bersama mengenai isu-isu dan masalah pelaksanaan DPPTOA.

iv. Dasar Kerajaan tidak mengiktiraf tanah adat Orang Asli.

Memandangkan isu tanah ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, KKLW telah mengambil inisiatif perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri (Johor, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Kedah dan Kelantan). Semua negeri kecuali Kelantan bersetuju menimbang memberi pengiktirafan mengenai kawasan rayau dan tanah adat yang bersesuaian dengan lokasi.

v. DPPTOA perlu ditangguhkan, sehingga kajian NATIONAL INQUIRY INTO LAND RIGHTS OF INDIGENOUS oleh SUHAKAM selesai pada Jun 2012.

KKLW semasa mesyuarat MAPOA pada Mesyuarat MAPOA Kali Ke 8 Bil 1/2011 bertarikh 21 Februari 2011 telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan DPPTOA ini sehingga NATIONAL INQUIRY INTO LAND RIGHTS OF INDIGENOUS oleh SUHAKAM selesai pada Jun 2012.

7 comments:

  1. Hak tanah orang asli mesti dipertahankan.

    ReplyDelete
  2. Kita tunggulah hasil kejian daripada Suhakam.

    ReplyDelete
  3. apapun, hak2 orang asli kena dipertahankan.

    ReplyDelete
  4. penjelasan ini mungkin menjawab isu yang ditimbulkan sebelum ni. harap hak orang asli akan sentiasa dijaga.

    ReplyDelete
  5. banyak sangat dakwaan2 yang tidak berasas. harap isu ini dapat ditangani dengan sebaiknya.

    ReplyDelete
  6. Lain kali kalau cakap biarlah berfakta. Jangan suka membuat andaian sendiri yang negatif. Nasib baik tidak kena saman.

    ReplyDelete
  7. kalau terdesakpun mahu buat tuduhan, buatlah kaji selidik terlebih dahulu.. bukannya hanya sekadar mendengar dari pihak lain.

    ReplyDelete