Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
KERAJAAN melalui agensinya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa memberikan peluang kepada para pelajar cemerlang untuk mendapatkan pinjaman atau biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dalam pelbagai jurusan, sama ada Diploma atau Ijazah.
Ini selaras dengan hasrat kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi demi menjamin masa hadapan mereka agar Malaysia dapat melahirkan ramai cendikiawan dalam negara setanding dengan negara luar.
Demikian antara intipati yang dijelaskan sendiri oleh Pegawai PTPTN, Bijasari Abdul Mutalib dalam satu temuramah eksklusif dengan Sabahkini.Net sebelum majlis Penyampaian Waran Pinjaman PTPTN
Kata Bijasari, antara syarat utama untuk melayakkan diri bagi mendapatkan pinjaman tersebut mestilah Warganegara Malaysia dan ibubapa mereka berpendapatan tidak kurang RM4,000 sebulan.
Bijasari menambah, mereka yang sudah memohon pinjaman tetapi tidak mendapat tawaran waran masih berpeluang untuk mendapatkan semula pinjaman awal sebanyak RM1,500 pada awal September ini.
Sementara itu, Datin Dr Lindai Lee yang mewakili suaminya, Datuk Liew Vui Kiong menyampaikan Waran Pinjaman PTPTN kepada 150 orang pelajar yang diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Ahli Parlimen Sandakan, kelmarin.
Beliau menyeru para pelajar yang mendapat pinjaman atau biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Dilploma dan Ijazah seharusnya bersyukur kerana merupakan peluang terbaik mereka untuk membina jati diri melalui pendidikan tinggi, khususnya bagi menjamin masa hadapan yang lebih cemerlang melalui penguasaan akademik.
Kerajaan Barisan Nasional melalui agensinya seperti PTPTN, kata Dr Lindai sentiasa memberi peluang seluas-luasnya kepada pelajar cemerlang untuk mendapatkan pinjaman bagi meneruskan pengajian; sebagai agen meningkatkan taraf hidup mereka.
Kelulusan pinjaman RM20,000 bagi setiap pelajar ini membuktikan keikhlasan kerajaan meningkatkan taraf hidup mereka melalui wadah pendidikan agar mereka menjadi aset modal insan yang penting kepada Negara.
“Pinjaman ini merupakan ‘pintu’ kepada ilmu pengetahuan. Saya berharap kepada para pelajar yang menerima waran RM1,500 sebagai pendahuluan untuk melangkah ke alam pendidikan peringkat Universiti pada awal September ini, gunakanlah wang tersebut sebaik-baiknya,”ujarnya Dr Lindai lagi.
No comments:
Post a Comment