Monday 15 August 2011

JANGAN RAMPAS SKIM TAMBISAN DARAT!



HASIL….Febian sedang mengumpulkan hasil sawit yang diusahakan beliau bersama pekebun lain.

Oleh : TIM PEMANTAU SABAHKINI.NET

BARU-BARU ini, iaitu pada 27 Julai 2011, Sabahkini.net dan serta beberapa akhbar tempatan telah menyiarkan berita mengenai tindakan oleh sekumpulan 63 orang penduduk Bumiputera yang telah menghantar satu petisyen bantahan ke pejabat Ketua Menteri Sabah; berhubung tindakan Jawatankuasa Pembangunan Tanah (L.U.C) yang telah membatalkan permohonan tanah yang telah dipohon serta diteroka sejak 2004 di kawasan Skim Tambisan Darat, Kinabatangan.

Susulan tersiarnya bantahan tersebut, satu kenyataan akhbar telah dibuat oleh Ketua Anak Negeri (KAN) kawasan Tambisan, Norhamzah Zakaria dan Ketua Kampung Sg. Nipah Tambisan, Kinabatangan iaitu Maulana Pg. Ali dalam akhbar Utusan Borneo pada 2 Ogos, 2011.

Menurut Norhamzah Zakaria, beliau serta seluruh penduduk di sekitar kawasan Tambisan menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah Kinabatangan yang telah diadakan pada 24 Februari, 2011 untuk membincangkan semula dan seterusnya meluluskan cadangan Geran Komunal bagi kawasan Skim terbabit.

Beliau turut menyokong pembatalan kesemua permohonan tanah terdahulu (melibatkan kumpulan yang membuat bantahan) dan seterusnya diberikan kepada penduduk-penduduk di kawasan Tambisan melalui Geran Komunal.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Ketua Kg. Sg Nipah Tambisan, Maulana Pg. Ali dalam kenyataannya turut menafikan dakwaan pihak terbabit bahawa kumpulan tersebut mendapat sokongan daripada beliau serta pemimpin-pemimpin lain di kawasan Tambisan sekitar tahun 2003 dan 2004.

“Saya tidak pernah menyokong dengan mana-mana kumpulan atau individu yang mendakwa selaku pribumi untuk menceroboh tanah adat kami“, tegas Maulana.

Susulan kenyataan oleh kedua-dua pemimpin tersebut, seorang jurucakap kepada kumpulan penduduk yang membantah iaitu Febian Atong telah menemui Tim Pemantau (Tanah Adat) Sabahkini.net bagi menjawab kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ketua Anak Negeri (KAN) serta Ketua Kampung Sg. Nipah, Tambisan.

Mengulas kenyataan kedua-dua pemimpin masyarakat kawasan Tambisan, Febian berkata, beliau dan seluruh rakan-rakannya yang terlibat berasa terkejut dan amat kecewa dengan kenyataan ‘tidak bertanggungjawab’ kedua-dua pemimpin kampung yang selama ini mereka hormati.

TERTINDAS….Sebahagian daripada pemohon yang tertindas oleh Tindakan L.U.C Daerah Kinabatangan. Gambar ini diambil di hadapan Pejabat Ketua Menteri Sabah.

“Mereka cuba menjatuhkan kredibiliti kami dengan memberikan gambaran seolah-olah kami adalah penceroboh tanah adat mereka”, ujar Febian yang turut memaklumkan bahawa kesemua 63 penduduk yang membuat bantahan merupakan 100% penduduk Bumiputera daripada suku kaum Kadazan/Dusun serta beberapa pemohon suku Bajau.

Beliau turut berasa terkilan kerana kedua-dua pemimpin tersebut seolah-olah tidak memahami peraturan serta risiko tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mereka, katanya sambil menunjukkan salinan Laporan Polis yang telah dibuat oleh beliau dan pemohon lain. (TSAN/RPT/173/2011 bertarikh 09-08-2011), berhubung kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin tadi.

Menurut Febian lagi, pihaknya telahpun memberikan kesemua salinan-salinan berkaitan status permohonan semua 63 penduduk yang terlibat dalam petisyen bantahan yang telah diserahkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman baru-baru ini katanya sambil menunjukkan sepucuk salinan surat yang baru beliau terima daripada Setiausaha Perhubungan kepada Ketua Menteri Sabah, yakni surat yang dialamatkan kepada Pengarah Tanah Dan Ukur bertarikh 01 Ogos 2011.

Selain itu, Febian turut memberikan beberapa lagi salinan Surat Sokongan daripada pelbagai pihak termasuk surat sokongan yang ditandatangani oleh Maulana Bin Pg. Ali selaku Ketua Kampung Sg. Nipah, Tambisan bertarikh 21 Ogos, 2008 bagi menyokong permohonan Abd Haman @ Sakaran Bin Hj. Mohd Yassin dan 17 peserta lain dalam kawasan yang sama.

Febian seterusnya menyerahkan satu salinan Surat Perjanjian Jual Beli Tanah bertarikh 24 Oktober 2004 yang melibatkan dua pihak, iaitu Pihak Pertama yang diketuai Amir Hamza @ Hamzah Bin Pg. Ali; selaku wakil kepada seramai 27 orang penduduk Tambisan yang telah mendapat kelulusan tanah di Skim Penempatan Tambisan Darat. Manakala satu pihak lagi diwakili oleh Nordin Bin Ening bagi Pihak Kedua iaitu sekumpulan pemohon-pemohon tanah.

BUKTI....Salah satu perjanjian yang dimaterai antara pembeli dengan penjual.

Perjanjian tersebut antara lain menyatakan bahawa Pihak Pertama telah meminta ‘sagu hati’ wang tunai sebanyak RM27,000.00 daripada Pihak Kedua sebagai syarat ‘penyerahan kawasan dalam tanah Skim Tambisan’ oleh Pihak Pertama yang terdiri daripada penduduk-penduduk yang telah mendapat kelulusan di Skim Tambisan Darat, Kinabatangan yang mempunyai keluasan sebanyak 950 ekar.

“Majlis menandatangani Perjanjian Jualbeli dan pembayaran saguhati tersebut dihadiri malah ditandatangani oleh Norhamzah @ Amir Hamzah Zakaria sendiri selaku saksi utama,” ujar Febian lagi.

“Dengan tersiarnya kenyataan ini, pihak kami mencabar kedua-dua pemimpin terbabit untuk membuat Laporan Polis ataupun mengambil tindakan di Mahkamah, pakar forensik dan Jabatan Kimia boleh menentukan siapa pihak yang benar”, ujar Febian lagi.

“Kami ada maruah, kami bukan Pendatang Asing yang merempat serta menceroboh tanah di negeri sendiri. Kawasan Skim Tambisan diwartakan sejak 1978 dan sehingga 2003 ia merupakan salah satu kawasan tanah terbiar, malahan telah ditawarkan oleh penduduk terbabit untuk dijual kepada seorang pembeli Cina bernama Lee Che Pin,“ tambah Febian lagi.

Beliau menambah, ”Atas rasa tanggungjawap sebagai rakyat Sabah, kami bersama-sama anak dan isteri kami telah membanting tulang memajukan tanah ini sejak 2003 dan sekaligus telah menyelamatkan kawasan Skim ini daripada dijual kepada peniaga Cina.”

Febian juga turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat permohonan secara rasmi melalui Pejabat Tanah Kinabatangan dan penerokaan ke atas kawasan tanah terbabit turut disahkan melalui satu Laporan Ulasan Pembangunan Tanah bertarikh 22 Januari, 2011 iaitu selepas satu pemeriksaan dilakukan oleh beberapa kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur.

Febian mempersoalkan mengapa Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah Kinabatangan membuat keputusan tanpa memberikan sebarang notis ataupun menjemput wakil daripada pihaknya?

Kata Febian lagi, beliau tidak menolak kemungkinan ada campurtangan pihak tertentu sambil merujuk spekulasi berhubung adanya individu-individu yang menggunakan ‘Kuasa Politik’ bagi ‘merampas’ tanah yang kini telahpun dimajukan sepenuhnya oleh beliau serta semua pemohon-pemohon yang membuat bantahan ini.

Namun sehingga kehari ini, kata Febian, mereka tidak pernah ditunjukkan senarai nama penduduk daripada kawasan Tambisan yang telah mendapat kelulusan dalam Geran Komunal tersebut.

“Pihak kami telahpun melantik tiga orang Peguam terkenal di negeri ini untuk membawa masalah kami hingga ke peringkat Mahkamah jika gagal menemui sebarang titik penyelesaian dengan pihak kerajaan,” kata Febian yang berpendapat tindakan LUC bukan sahaja melanggar Hak Asasi Anak Negeri Sabah, malah jelas bertentangan dengan hasrat murni kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman; untuk meningkatkan taraf hidup kaum Bumiputera di negeri ini menerusi Halatuju Pembangunan Pertanian Negeri Sabah.

Febian serta semua pemohon yang terlibat dalam bantahan ini berkeyakinan penuh terhadap kewibawaan Ketua Menteri Sabah dalam menyelesaikan masalah mereka di Skim Tambisan ini; sesuai dengan peraturan-peraturan yang terkandung dalam Akta Ordinan Tanah Negeri Sabah.

Ditanya mengenai dakwaan Maulana berhubung kejadian tembakan yang berlaku sekitar tahun 2004, Febian berkata peristiwa tersebut masih dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia, oleh itu adalah tidak wajar sekiranya beliau mengulas mengenai perkara tersebut.

Tim Pemantau (Tanah Adat) Sabahkini.net turut dihubungi oleh beberapa aktivis masyarakat yang mengikuti perkembangan kes bantahan ini sejak awal lagi dan rata-rata berpendapat masalah bantahan membabitkan golongan penduduk di luar bandar semakin bertambah semenjak perlaksanaan geran komunal di negeri ini.

Kebanyakan aktivis masyarakat turut menggesa agar satu Unit Khas ditubuhkan bagi mewakili pelbagai pihak contohnya, SUHAKAM, NGO, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Hasil Bumi. Semua pihak perlu turun padang bagi mencari kaedah penyelesaian berdasarkan peruntukan Ordinan Tanah Negeri Sabah yang telah sedia ada.


No comments:

Post a Comment