Sunday 21 August 2011

KENAPA HANYA 126 PENERIMA BANTUAN?



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto: BASRI HJ OSMAN

MAJLIS Penyampaian Bantuan Wang Ehsan kepada mangsa-mangsa bencana banjir Daerah Kinabatangan yang disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Malaysia (Kinabatangan), Datuk Bong Moktar Radin baru-baru ini dipalit kepincangan kerana hanya 126 sahaja yang disenaraikan berbanding dengan jumlah sebenar yang terlibat.

Pegawai Perhubungan kepada Ahli Parlimen (Kinabatangan), Basri Hj Osman (gambar sisipan) mendakwa setiap seorang akan mendapat bantuan sebanyak RM500 dan yang maragukan kenapa hanya 126 orang saja yang layak menerima bagi daerah Kinabatangan.

Mengikut rekod yang terdapat di pejabatnya, mangsa banjir yang layak menerima bantuan tersebut bukan setakat 126 orang sahaja, malahan lebih daripada jumlah itu dan beliau kesal kenapa nama mereka boleh tercicir.

Basri yang menghubungi Sabahkini.Net kelmarin antara lain menyatakan bantuan sebegini memang sudah disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk diageh-agehkan kepada mangsa bencana alam, khususnya mangsa-mangsa banjir.

“Seperti ada sabotaj pihak atau jabatan tertentu sehingga Ahli Parlimen kami menghadapi masalah kerana ramai yang sepatutnya layak menerima tetapi nama mereka telah tercicir daripada rekod di agensi berkenaan,” ujarnya lagi.

Kesilapan tersebut, kata Basri, amat menyedihkan kerana ramai yang tidak mendapat bantuan untuk meringankan bebanan mereka; apatah lagi di ambang sambutan hari lebaran.

“Pihak kami akan membuat penyiasatan di atas kesilapan ini agar tidak timbul sebarang keraguan dan menjadi spekulasi kepada masyarakat tentang pengagehan bantuan tersebut kepada mangsa-mangsa banjir, terutama yang belum menerima bantuan ini,” tegas Basri lagi.

No comments:

Post a Comment