Saturday 13 August 2011

MASJID MEDIUM SATUKAN UMAT ISLAM



RASMI…Lajim diiringi oleh John, Abd Rahim menarik tirai sebagai simbol perasmian masjid Al-Kauthar Kampung Tenambak.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

UMAT Islam perlu menjadikan masjid dan surau sebagai medium menyatukan ummah sekali gus memastikan agenda penyatuan masyarakat Islam dapat direalisasikan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, masjid bukan sekadar sebagai tempat menunaikan solat tetapi perlu diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang memberikan manfaat kepada umat Islam.

Sehubungan itu, Lajim yang juga Pengerusi Perhubungan Sukarelawan PERKIM Sabah menyarankan supaya jawatankuasa masjid dan surau mengatur lebih banyak aktiviti keagamaan bagi menarik ramai kariah terutamanya golongan muda ke rumah ibadat itu.

"Masjid selain dijadikan tempat beribadat ia juga perlu dijadikan sebagai pusat perpaduan, menimba ilmu dan perhimpunan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap merasmikan masjid Al-Kauthar dan seterusnya majlis berbuka puasa di kampong Tenambak dekat sini petang kemarin.

Hadir sama Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing; Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu Abd.Rahim Yakub; Timbalan Ketua Umno Beaufort Isnin Haji Aliasnih; Bendahari Umno Bahagian Beaufort Zahari Mohd.Zinin dan Pengarah YADIM Sabah Haji Samin Ongki.

Menurut Lajim lagi, Masjid yang cantik, besar dan indah dibina dengan peruntukan yang besar jika tidak diimarahkan dengan aktiviti keagamaan dan menimba ilmu akan membazir.

ANAK YATIM…Lajim ketika menyampaikan wang zakat sumbangan beliau kepada salah seorang anak yatim sempana majlis tersebut.

Tambah Lajim kerajaan pada hari ini bukan sahaja memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan fizikal, malah pembangunan rohani juga turut diberikan perhatian yang bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat Islam; malah penganut agama lain tidak dpinggirkan untuk menikmati kemudahan rumah ibadat mereka masing-masing.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut menggesa umat Islam supaya mengukuhkan ikatan perpaduan di bulan Ramadan dengan melupakan segala perselisihan faham yang berlaku sebelum ini.

Menurut beliau kekuatan sesuatu bangsa dan umat bergantung kepada perpaduan yang kukuh dan hidup bersatu padu seperti mana yang digalakkan agama Islam.

Di majlis tersebut Lajim juga turut memyampaikan sumbangan wang zakat kepada golongan kurang berkemampuan ibu tunggal, anak yatim juga sumbangan kewangan untuk tabung masjid dan surau yang ada di kawasan daerah mengundi Tenambak.

No comments:

Post a Comment