Friday 5 August 2011

YMM HARUS BIJAK JINAKKAN PEMBANGKANG



CENDERAHATI….. Raimie sedang menerima cendera hati daripada penganjur.

Oleh: MOHD ZAKI EMPIN

GOLONGAN belia dan beliawanis digesa agar bijak ‘menjinakkan’ pembangkang dan tidak mudah terpedaya dengan lambakan pelbagai maklumat yang dimuatkan dalam media elektronik sebaliknya mereka perlu bijak memilih sumber maklumat yang sahih dan tepat dalam internet (ICT).

Mereka juga harus jangan terpengaruh maklumat dalam ICT yang dipelopori pembangkang kerana apa yang dimuat ke dalamnya pasti akan memesongkan pemikiran sesiapa yang melayarinya kerana maklumat yang disiarkan hanyalah semata-mata memberi tanggapan negatif terhadap dasar dasar kerajaan.

Demikian dinyatakan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raimie Unggi semasa merasmikan Majlis Ulang Tahun “’Youths Malaysian Movement’ (YMM) cawangan Tenom bagi kali ke-21 yang dihadiri kira-kira 500 orang bertempat di Dewan Seri Antanom, dekat sini baru-baru ini.

Raime berkata, kepesatan ICT menjadikan dunia tanpa sempadan memudahkan pelbagai maklumat diperolehi yang juga tidak dinafikan banyak memberi manfaat khususnya kepada golongan pelajar dalam mendapatkan pelbagai maklumat.

Namun pada masa yang sama tambah Raimie, golongan belia haruslah bijak menilai dan tidak cepat terpedaya dengan sebarang maklumat yang salah mengenai dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa yang sengaja diputar-belit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang sengaja mencetuskan polemik untuk mencapai agenda peribadi mereka.

Selain itu, Raime turut mengucapkan syabas kepada YMM Tenom yang bergiat secara aktif sehingga berada dalam kelompok 10 antara pertubuhan belia yang proaktif di Negara ini dan menyarankan agar pertubuhan ini memperkembangkan kegiatannya yang tidak hanya tertumpu disekitar bandar atau pekan sahaja.

Namun tambahnya, mereka perlu mengadakan program kemasyarakatannya di peringkat kampong-kampung agar masyarakat kampung khususnya golongan belia mendapat menfaat daripada program YMM.

Dalam pada itu, Raime seterusnya menggesa agar YMM Tenom akan lebih memainkan peranannya terutamanya dalam menyumbang terhadap kejayaan gagasan perpaduan nasional iaitu 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan kelangsungan nikmat perpaduan dan keharmonian negara masa kini dapat dipertahankan.

Dalam majlis yang sama, Raime telah mengumumkan sumbangan dana kepada YMM Tenom dengan harapan pertubuhan ini lebih mantap dan bergiat aktif lagi untuk faedah masyarakat secara keseluruhannya.

Sementara itu, Penasihat YMM Tenom, Liew Kuoh Yit yang telah dinobatkan sebagai penerima Tokoh Kepimpinan Belia YMM yang ditemui selepas majlis itu berkata, kejayaan YMM Tenom adalah atas usaha dan kerjasama semua pihak khususnya Datuk Raime yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepada perkembangan pesat YMM .

No comments:

Post a Comment