Saturday 27 August 2011

ZIARAH RAMADHAN MENILAI KASIH PEMIMPIN



TURUN PADANG…Lajim bersama-sama pegawai dari Pusat Khidmat Parlimen Beaufort ketika melawat sebuah keluarga di kampong Kubu 2 yang memerlukan bantuan pembaikan rumah.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

DALAM keceriaan menyambut bulan penuh keberkatan ini, masih ada insan yang terpinggir. Bagi mereka Ramadhan sama sahaja seperti hari biasa. Yang membezakan mereka hanyalah niat puasa kerana berlapar di siang hari telah menjadi rutin dalam kehidupan mereka untuk meneruskan kehidupan ini.

Melihat akan situasi ini, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin bersama isteri Datin Seri Panglima Hajah Normilah Siong dan turut diperkuatkan oleh MAYANG Parlimen Beaufort telah tampil dalam membela nasib golongan ini.

Jika sebelum ini program 'Jejak Prihatin' telah diperkenalkan dan berjaya membantu golongan seumpama ini, tetapi bagi memberi keceriaan kepada golongan yang kurang berkemampuan, program 'Ziarah Ramadhan' telah diperkenalkan bagi meneruskan misi kemanusiaan demi membantu masyarakat terpinggir ini bersempena Ramadan al-Mubarak.

Program khusus yang dinamakan program ‘Ziarah Ramadhan’ ini merupakan program amal pengagehan pek makanan keperluan harian kepada golongan fakir miskin dan juga golongan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban golongan tersebut untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Bagi Lajim yang juga Ahli Parlimen Malaysia (Beaufort) yang sudah dikenali sebagai Pemimpin Berjiwa Rakyat yang sememangnya telah sekian lama mengamalkan budaya turun padang menemuai dan bersama rakyat yang diwakilinya baik di majlis-majlis rasmi, kenduri kendara, kematian dan perkahwinan.

Namun program ziarah Ramadhan berbeza dengan program ziarah sebelumnya ini kerana semasa bulan Ramadhan dan menyambut ketibaan Aidil Fitri, tidak tidak semua orang berpeluang untuk merayakannya kerana musibah yang mereka hadapi; antaranya sakit dan kurang berkemampuan menyediakan keperluan untuk merayakannya.

“Ziarah semasa bulan Ramadhan ini berbeza dengan ziarah yang sering saya lakukan semasa program turun padang. Ziarah Ramadhan lebih memfokaskan kepada ziarah secara individu. Kita bertandang dari rumah ke rumah; terutamanya mereka yang uzur dan kurang berkemampuan,” kata Lajim yang percaya ziarah ini boleh mengukuhkan silatulrahim, di samping dapat mengembirakan mereka untuk sama-sama merayakan sambutan hari raya tahun ini.

Lebih istimewa, program ini juga turut memperlihatkan sokongan dan keprihatinan daripada BAKTI dan MAYANG Parlimen Beaufort yang tampil dalam menyertai program 'Ziarah Ramadhan' dengan mengadakan lawatan dari rumah ke rumah untuk mengenalpasti tidak ada pihak yang terpinggir ketika umat Islam bersedia menyambut kedatangan hari Lebaran .

Menurut Lajim yang juga Ketua Umno bahagian Beaufort, melalui program ini, pemimpin lebih dekat di hati rakyat di peringkat akar umbi agar segala masalah mereka dapat dilihat dan mengambil tindakan serta merta untuk membantu mereka

Bagi MAYANG Parlimen Beaufort, Timbalan Pengerusi Penyelarasnya Hajah Johair Matlani berkata, untuk tahun ini sahaja, pihaknya telah mensasarkan untuk mengagehkan pek makanan tersebut penerima bantuan yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan mereka yang telah dikenalpasti layak menerima mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

"Kami akan lakukan yang terbaik dalam menyalurkan sumbangan tersebut dan hanya mereka yang benar-benar layak saja yang akan menerima manfaat daripada program ini tanpa mengira latar belakang politik mereka,” katanya.

Orang ramai ketika ditemui dan diminta mengulas program ini, majoritinya berkata, ia merupakan komitmen seorang pemimpin yang sentiasa peka dan prihatin dengan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Bagi Juriffah Saffle, Ketua Cawangan Umno Beaufort 2; Lajim dan isterinya Datin Normilah merupakan pemimpin yang sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan rakyat di peringkat akar umbi; bukan sahaja ziarah dalam bulan Ramadhan malah pada hari-hari biasa terutama di majlis kenduri dan belasungkawa.

“Sifat prihatin dan penyayang mereka (Lajim dan Isteri) kepada rakyat telah mengakar umbi sejak sekian lama dan antara faktor inilah menjadikan mereka disayangi dan dihormati oleh rakyat,” jelas Juriffah lagi.

Berbeza pula dengan pendapat Ketua Cawangan Umno Bakalau Lama, Butoi Salleh yang sekian lama mengenali cara dan corak kepimpinan Lajim; kerana menurut beliau walaupun terlalu awal bercakap soal calon untuk pilihanraya umum akan datang; Lajim perlu dipertahankan sebagai calon kerana kekuatan serta hubungan intimnya dengan rakyat di peringkat akar umbi terlalu kukuh dan intim.

“Kepimpinan serta sikap beliau (Lajim) yang sentiasa dekat di hati rakyat adalah eleman penting bagi beliau dikekalkan sebagai calon pada pilihanraya umum akan datang kerana rakyat di kawasan ini sememangnya kenal dengan perwatakannya yang berjiwa rakyat memudahkan Barisan Nasional bertahan di kawasan ini,” tegas Butoi.

Kepimpinan serta hubungan baik Lajim sebagai pemimpin, khususnya dalam program ziarah tidak hanya memberikan tumpuan kepada satu kelompok sahaja; menyeluruh tanpa mengira bangsa dan agama ini diakui oleh seorang pemimpin pemimpin Kadazan Tarimus Undiga dari Hulugilat yang menjelaskan corak kepimpinan dan pendekatan Lajim sebagai ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Umno di kawasan tersebut telah mendahului Gagasan 1 Malaysia.

“Sekarang kita bercakap slogan 1 Malaysia. Jika melihat cara pendekatan Lajim sebagai pemimpin di kawasan ini, beliau telah pun melaksanakan pendekatan tersebut lebih awal, dalam program Ziarahnya tanpa mengira kaum atau perayaan; malah dalam perayaan Krismas yang dirayakan oleh masyarakat Kadazan Dusun dan Tahun baru Cina beliau akan tetap hadir dan bersama-sama kami,” katanya.

Hakikatnya program Ziarah Ramadhan merupakan eleman terbaik bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dan dari sinilah rakyat dapat menilai kualiti kepimpinan seorang pemimpin yang perlu mereka pilih dan letakkan bagi mewakili mereka sebagai wakil rakyat yang mampu membawa perubahan besar dalam segala aspek pembangunan.

10 comments:

  1. Syabas kepada Lajim kerana sanggup memberi bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

    ReplyDelete
  2. Harap bantuan ini diberikan dengan hati yang ikhlas.

    ReplyDelete
  3. inilah keprihatinan pemimpin kita, sumbangan dari beliau amat dihargai.

    ReplyDelete
  4. pemimpin perlu sentiasa melakukan aktiviti turun padang seperti ini agar penduduk yang memerlukan bantuan dapat dibantu.

    ReplyDelete
  5. Contohi wakil rakyat ini...walaupun sibuk bekerja di Kuala Lumpur, tapi masih juga dapat meluangkan masa untuk melawat orang susah di kawasannya...Tahniah Datuk Lajim!

    ReplyDelete
  6. Program ini menunjukkan keprihatinan pemimpin kepada rakyat yang sangat2 memerlukan.

    ReplyDelete
  7. Elemens yang perlu ada sebagai seorang pemimpin.

    ReplyDelete
  8. Rakyat pasti akan sentiasa menyokong pemimpin seperti Lajim. semestinya program 'Ziarah Ramadhan' ini memberi makna yang besar kepada golongan2 yang kurang berkemampuan.

    ReplyDelete
  9. aktiviti turun padang yang membawa bersama bantuan dalam bentuk barangan makanan atau keperluan lain adalah lebih baik dari sekadar turun padang untuk berkempen atau mencari bahan yang boleh dipolitikkan..

    ReplyDelete
  10. Baguslah Lajim aktif bersama dengan rakyat. Itulah contoh kepada wakil rakyat yang lain.

    ReplyDelete