Thursday 15 September 2011

BHF AKAN HERET KERAJAAN BN KE MAHKAMAH



Oleh : MUTALIB M.D

PENGERUSI Yayasan Warisan Borneo (BHF), Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjelaskan pihaknya sedang dalam peringkat terakhir dokumentasi untuk mengheret Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional ke Mahkamah bagi mendesak satu ‘Deklarasi’ bahawa Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London adalah TIDAK SAH dan BATAL.

“Kita telah diperdaya selama 48 tahun termasuk menukarkan status Sabah daripada Negara kepada sebuah Negeri dan menafikan 20 Perkara,” kata Dr Jeffrey dalam pertemuan khas dengan Sabahkini.net di Kota Kinabalu, kelmarin.

Sehubungan itu kata Dr Jeffrey, BHF akan mengambil langkah pro-aktif untuk mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa Perjanjian Malaysia dan sebahagian kandungan di dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung Sabah adalah Vex, Jeopardi, putar belit dan bercanggah dengan undang-undang.

Walaupun ramai pihak mempertikai bahawa 20 Perkara bukanlah ‘sebuah Perjanjian’ mengikut konteks Akta Kontrak dan Perlembagaan, namun kata Dr Jeffrey ia menjadi asas utama Penggubalan Perjanjian Malaysia dan Pembentukan Perlembagaan Malaysia.

“Kenapa Kerajaan Persekutuan bertindak menyumbat saya ke dalam tahanan ISA semata-mata kerana menyuarakan hak Sabah dan kedudukan Sabah dalam Malaysia? Jika Singapura boleh keluar daripada Malaysia, kenapa Sabah dinafikan hak sedangkan majoriti rakyat Sabah sudah mula bosan dengan tindak tanduk Kerajaan Persekutuan?,” ujar Dr Jeffrey yang menjelaskan masa untuk Kerajaan Persekutuan membohongi rakyat Sabah telah tamat.

Menurut Dr Jeffrey, BHF ditubuhkan sebagai Yayasan Amanah untuk menjaga kepentingan Sabah dan rakyatnya, sehubungan itu beliau akan berjuang mengikut lunas undang-undang setelah Kerajaan Persekutuan menggagalkan perjuangannya melalui saluran politik.

“Sudah tiba masanya rakyat Sabah menyedari bahawa mereka hanya diberi gula-gula seperti kanak-kanak apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan Periktirafan dan cuti umum pada Hari Malaysia yang jatuh lusa, 16 September; sedangkan mereka tidak pernah menganggap Sabah sebagai rakan kongsi yang membentuk sebuah negara Malaysia,” kata Dr Jeffrey yang menegaskan beliau bukan menghasut rakyat Sabah untuk memberontak, sebaliknya berjuang di mahkamah keadilan.

Tegasnya, jika BHF gagal berjuang di Mahkamah Malaysia, pihaknya akan memfailkan tuntutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Heague, Belanda bagi mencari keadilan untuk rakyat Sabah yang telah terpedaya dan ditipu oleh Kerajaan Persekutuan terutama berhubung autonomi dan Isu 20 Perkara.

No comments:

Post a Comment