LAJIM UKIN… Ahli Umno perlu memberikan sokongan kepada siapa sahaja calon PRU akan datang.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
AHLI-AHLI Umno yang taat kepada perjuangan dan keputusan pucuk pimpinan parti harus memberikan sokongan kepada sesiapa juga calon yang dipilih pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin (gambar ) berkata, mereka harus memberikan sokongan kerana calon yang dipilih itu bukan calon mewakili individu, tetapi adalah calon yang mewakili parti untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Merdeka Raya Aidilfitri Wakil Rakyat Lumadan bersama Persatuan Bisaya Bersatu Sabah dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Beaufort baru baru ini.
Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, diminta mengulas ingatan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kepada anggota Barisan Nasional (BN) supaya memberi sokongan penuh kepada parti itu dan bukannya calon yang bertanding jika mahu merampas kembali Selangor pada pilihan raya umum akan datang ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Selangor.
Menurut beliau calon yang akan dipilih pucuk pimpinan untuk mewakili parti adalah calon yang boleh mewakili parti untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya.
Beliau juga yakin Presiden parti tidak akan menggugurkan calon sedia ada walaupun sudah lama mewakili parti sekiranya mereka masih mampu menang dan mampu untuk mewakili parti serta bekerja untuk kepentingan parti.
“Presiden Parti mempunyai saluran untuk mengenal pasti pemimpin yang perlu diketengahkan atau dipertahankan atau ditukar kerana sikap pemimpin itu sendiri. Kalau calon itu buat kerja yang baik, prestasi yang bagus, rakyat tidak menolaknya, tidak ada suara sumbang, Presiden parti tidak akan gugur pemimpin berkenaan,” katanya.
Tambah Lajim, sekiranya rakyat di kawasan tersebut tidak mahu dengan pemimpin itu, sebaiknya mereka terus mengundurkan diri supaya pucuk kepimpinan senang untuk memilih calon yang berwibawa dan boleh menang untuk mewakili parti.
No comments:
Post a Comment