Tuesday 13 September 2011

NILAI TAMBAH BUAT 1,200 PELAJAR TENOM



RASMI…Jamawi meniup sumpit sebagai simbol perasmian program tersebut. Gambar sisipan Dr Fadzilah Kamsah.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

DIJANGKA lebih dari 1,200 orang pelajar di Tenom yang bakal menduduki peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari seluruh sekolah menengah di daerah ini akan menyertai Program Motivasi Perdana anjuran Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan Kerja sama Pergerakan Pemuda Umno Tenom dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Program yang akan diadakan pada 15 September (khamis) ini, akan berlangsung di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antenom bermula dari jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang akan disertai pelajar sekolah menengah St Anthony Kemabong, Entabuan SM Chung Hwa dan SMK Tenom.

Pakar Motivasi, Datuk Dr. Haji Mohd. Fadzilah Kamsah (gambar kecil ) akan bersama-sama pelajar yang menyertai program ini yang akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu bersama pelajar pada sesi pagi dan satu sesi khas bersama ibubapa pelajar pada sebelah petangnya.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar, berkata pogram ini merupakan julung kali pernah diadakan di daerah Tenom dan merupakan antara komitmen pergerakan pemuda Umno bahagian Tenom bagi meletakkan agenda pembangunan model insan melalui pendidikan sebagai satu keutamaan dalam menjana kemajuan pendidikan bagi pelajar pelajar sekolah di luar Bandar.

“Program ini merupakan satu program nilai tambah bagi memperkasakan kemajuan pendidikan pelajar khususnya di daerah ini yang bukan sahaja perlu disokong dari segi kemudahan prasarana, namun perlukan anjakan paradigma bagi menyuntik semangat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program sambutan hariraya Aidilfiri dan Majlis Ramah Mesra di Sk Bakuku Ulu Temoni Tenom, kelmarin.

SUMBANGAN….Jamawi turut menyampaikan sumbangan kewangan Pergerakan Pemuda Umno Tenom kepada salah seorang guru besar sempana majlis tersebut.

Jamawi yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata Pergerakan Pemuda Umno Tenom meletakkan agenda pembangunan pendidikan sebagai satu keutamaan dalam setiap programnya kerana menyedari betapa pentingnya pendidikan kepada anak bangsa sebagai bekalan mereka menghadapi cabaran akan datang.

“Kita sedar, kalau kita mahu mencapai kemajuan besar dalam negara kita dan mahu menjadi negara maju menjelang 2020 nanti, perkara penting yang harus kita beri tumpuan adalah soal pelajaran," katanya.

Sehubungan itu menurut Jamawi, semua pihak di daerah itu perlu berkerjasama memperkasakan kemajuan pendidikan dengan tidak menyendarkan sepenuh peranan serta tanggungjawab tersebut kepada pihak sekolah mahupun guru-guru, malah ibubapa dirumah juga perlu memainkan peranan bagi membantu anak-anak mereka maju dalam soal pendidikan.

No comments:

Post a Comment