PALSU....Ini bukan pekan Kiulu. Gambar palsu ini digunakan Utusan untuk kelirukan rakyat Sabah.
Saudara Pengarang,
SAYA amat gembira kerana sejak kebelakangan ini, banyak artikel mengenai daerah dan pekan-pekan kecil di Sabah telah dimuatkan dalam surat khabar tempatan dan baru-baru ini artikel mengenai pembangunan di Kiulu bertajuk ‘Kiulu Nikmati Limpahan Merdeka’.
Kiulu merupakan pekan yang dikira terpencil kerana selepas Kiulu, tiada lagi pekan seterusnya dan sememangnya menurut pemerhatian saya, Kiulu sudah semakin lama, semakin diperbaharui dengan pembinaan jalanraya yang sudah pastinya mampu membantu masyarakat di sana untuk memasarkan hasil pertanian dan sebagainya.
Tetapi apa yang paling mengejutkan saya adalah, gambar pekan kiulu yang disiarkan di UTUSAN ONLINE baru-baru ini.
Pekan Kiulu bukan seperti ini, Kiulu tiada bangunan tinggi kecuali sekolah dan rumah guru. Kiulu tiada HSBC seperti yang kita lihat dalam gambar. Kiulu tidak ada jalan raya yang begitu luas di sekitar pekan. Kiulu tiada kawasan yang besar yang mempunyai bangunan kedai seperti di dalam gambar berita tersebut.
Perkara ini amat mengelirukan, terutamanya kepada penduduk yang tidak pernah ke pekan Kiulu. Saya berharap, agar UTUSAN ONLINE menarik balik gambar yang dipaparkan kerana ianya amat mengelirukan.
Jika sekiranya Pihak Utusan ingin menggambarkan kemajuan Kiulu, apa salahnya datang ke pekan itu dan mengambil gambar pekan tersebut. Kesilapan ini amat memalukan.
Salam Hormat,
LOPUNG
No comments:
Post a Comment