Wednesday 7 December 2011

BAIK BERDEPAN, JANGAN LEPASKAN GERAM DI FACEBOOK!



SUMBANGAN..... Masiung kelihatan menyerahkan sumbangan bibit anak sawit sebagai simbolik kepada salah seorang petani.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

WAKIL Rakyat Kuamut, Masiung Banah menyifatkan membela masyarakat di pedalaman menjurus ke arah kehidupan yang terus meningkat dari semasa ke semasa adalah merupakan satu cabaran kepada parti politik, khususnya bagi memastikan matlamat Wawasan 2020 yang semakin suntuk dapat direalisasikan.

Katanya, keseimbangan dalam kehidupan sosial, kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas yang lain dengan masyarakat di bandar amat dituntut oleh golongan masyarakat di pedalaman.

Masiung berkata demikian ketika melancarkan program Pejabat Bergerak di Zon Entilibon dan Zon Sogo-Sogo, Tongod, kelmarin.

Masiung menambah, usaha murni pihak Pergerakan Komulakan P.187 UPKO Kinabatangan membuka Pejabat Bergerak dari satu zon ke zon lainnya adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan Wakil Rakyat untuk berinteraksi dengan rakyat setempat yang mempunyai masalah; agar dengan mudah dapat menemui wakil rakyat setiap masa.

Kata Masiung, beliau menyedari beban tanggungjawab yang perlu digalas oleh barisan kepimpinan UPKO bagi meningkatkan taraf kehidupan untuk merapatkan jurang kehidupan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya lagi, langkah mengadakan perkhidmatan Pejabat Bergerak ADUN Kuamut yang beroperasi di setiap zon, adalah untuk mendekati rakyat di setiap zon bagi membolehkan mereka berjumpa sendiri dan berdepan dengan wakil rakyat; untuk melaporkan atau meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap peranan wakil rakyat atau pegawai-pegawai yang berkhidmat di pejabat ADUN Kuamut.

“Terdapat sesetengah penduduk mungkin rasa tidak puas hati dengan khidmat saya sebagai wakil rakyat sehingga mereka tergamak melontarkan tuduhan-tuduhan liar dan mengaib orang, sambil mengeluarkan kata-kata kesat di laman sosial,” kata Masiung lagi.

Tegas Maiung, jika ingin menegur kepimpinan beliau, buatlah secara berdepan dan bukannya memburuk-burukkan beliau dan peribadi orang lain.

“Menemui saya secara berdepan lebih baik daripada meluahkan rasa tidak puas hati di dalam laman sosial seperti facebook. Saya terima apa juga teguran. Tetapi kesal jika masalah peribadi turut diseret dan memperlekehkan kepimpinan saya,” kata Masiung yang menyatakan sikap memburuk-burukkan orang lain bukan budaya rakyat Malaysia.

Tegasnya lagi, masyarakat kita dididik oleh kedua orang tua supaya beradap dan bersopan santun agar dihormati oleh orang lain; inilah salah satu langkahnya untuk membuka pejabat bergerak ADUN kerana sesiapa yang rasa tidak puas hati terhadap peranaan kerajaan yang sedia ada atau mengenai kepimpinan beliau, boleh bersua muka secara peribadi.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian PBS Kuamut, Awang Gariman dan Pengerusi JKKK Kampung Kiandongo Darat, Aim Ansang semasa ditemubual oleh Sabahkini.Net turut memberikan pandangan ikhlas mereka mengenai program Pejabat Bergerak ADUN Kuamut yang dijalankan di seluruh zon, mukim dan daerah Tongod.

Mereka masing-masing menyambut baik usaha Pergerakan Komulakan UPKO Kinabatangan melaksanakan program sedemikian kerana sekurang-kurangnya memberikan ruang seluas-luasnya kepada rakyat setempat untuk berjumpa bagi mengajukan pelbagai masalah kepada wakil rakyat berkenaan

Perkhidmatan Pejabat Bergerak yang beroperasi selama dua hari dan hari pertama di Dewan Serbaguna Kampung Entilibon dan Kampung Sogo-Sogo telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada masyarakat setempat.

Dalam pada itu seramai 53 orang petani dan pekebun-pekebun kecil masing-masing menerima bantuan berupa dua guni baja setiap seorang, termasuk bantuan bibit anak sawit setiap orang menerima 320 pokok sumbangan daripada ADUN Kuamut.

No comments:

Post a Comment