Saturday 31 December 2011

PEMIMPIN PERLU SELAMI ASPIRASI BELIA



PRIHATIN...Azizah ketika bersama belia dan beliawanis Kg Rancangan Klias Beaufort dalam satu majlis santai.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun menyedari betapa generasi muda merupakan golongan terpenting dalam sesebuah masyarakat yang akan meneruskan kepimpinan masa depan negara.

Katanya, menyelami naluri dan aspirasi generasi muda merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan terutamanya kepada golongan pemimpin.

“Saya ingin melihat dari dekat dan ingin tahu apa sebenarnya apa yang menjadi keperluan belia dan belia wanis masa kini kerana zaman telah berubah berbanding era remaja kami pada masa dahulu. Maka saya lebih suka menemui anda dalam keadaan yang tidak formal,” katanya ketika pada majlis sembang dengan belia dan beliawanis Kampung Rancangan Klias di Beaufort, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Penaja Persatuan Belia Kg Rancangan Klias, Roslan Tarisin, pemimpin masyarakat dan belia dan beliawanis kampung tersebut.

Pada majlis itu Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias berharap persatuan belia di kampung itu dapat bergiat aktif demi kebaikan bersama sekali gus dapat menyumbang dalam pembangunan kampung.

Azizah yang dapat mendengar sendiri luahan hati para belia pada pertemuan itu turut mengumumkan kelulusan peruntukan membaiki gelanggang bola tampar pada tahun hadapan dan pelaksanaannya diserahkan kepada belia.

Sementara itu, Roslan berkata kampung itu mempunyai kira-kira 300 belia dan beliawanis dan pihak persatuan akan menggerakan jawatankuasanya untuk mendaftarkan seberapa ramai ahli menyertai persatuan itu.

Beliau berkata antara agenda penubuhan persatuan itu ialah untuk membantu pihak kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam penganjuran pelbagai program yang sesuai.

“Walaupun ianya bersifat persatuan belia tetapi pihak kami juga akan menganjurkan pelbagai program selain daripada program belia,” katanya.

No comments:

Post a Comment