Saturday, 24 December 2011

APMM RAMPAS ARAK RM3 JUTA DI LABUAN

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menumpaskan cubaan menyeludup keluar minuman keras dengan duti tidak berbayar bernilai RM3 juta pada Khamis.

Ketua Penguatkuasa APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Taha Ibrahim berkata pelbagai jenis minuman cuba dibawa keluar dengan sebuah kapal yang didaftar di Limbang, Sarawak dari pulau bebas cukai ini menuju Pontianak, Indonesia.

"Anggota kami menahan kapal tersebut selepas kapal peronda kami mengesannya di laut berhampiran Labuan pada pukul 10.30 malam semalam. Mereka mendapati kapal itu dipenuhi minuman keras yang diletakkan di dalam beberapa kontena," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Lapan anak kapal tersebut yang terdiri daripada dua rakyat Malaysia dan selebihnya warga Indonesia telah ditahan untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan kompaun sehingga 10 kali harga pembelian barangan tersebut.

Mohd Taha berkata rampasan itu yang merupakan yang terbesar tahun ini akan meningkatkan semangat anggota APMM untuk memantau perairan pulau bebas cukai ini daripada aktiviti penyeludupan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment