Wednesday, 28 December 2011

PBTM SABAH SOKONG PENUBUHAN RCI



SIDANG MEDIA…Sanon (tengah) bersama ahli jawatankuasa (PBTM) Bahagian Sabah semasa sidang media tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PERSATUAN Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sabah sebulat suara menyokong penuh cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi tujuan menyiasat isu pendatang Tanpa Izin dan projek kad pengenalan diri (IC) di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Sanon Haji Sapari berkata ini kerana pihaknya turut melahirkan kebimbangan pertambahan penduduk begitu mendadak, justeru keadaan ini sudah sewajarnya memerlukan RCI melakukan siasatan secara terperinci dan menyeluruh bagi mengenal pasti soal statistik dan kependudukan di Sabah.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Bahagian PBTM Siri 4 bagi Tahun 2011 di Kota Kinabalu.

Sanon yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bisaya Bersatu Sabah menyatakan perkara itu sebagai sokongannya kepada kenyataan Ketua Penerangan PBS, Datuk Johnny Mositon di sebuah akhbar tempatan agar Kerajaan Persekutuan menubuhkan RCI di Sabah bagi menjalankan siasatan lanjut isu pendatang Izin dan projek kad pengenalan diri (IC) di negeri ini.

Menurutnya, usaha menghalang penubuhan RCI di negeri ini oleh sekumpulan tidak bertanggungjawab merupakan satu tindakan tidak berakal sama sekali.

“Rakyat di negeri ini mempunyai hak bagi meneruskan usaha ini dan tidak sepatutnya diganggu atau dihalang oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda kepentingan sendiri yang akhirnya menjejaskan keselamatan dan hak kerakyatan penduduk negeri ini,” jelas Sanon.

Sehubungan itu, beliau mahu siasatan lanjut bantahan disuarakan sebuah organisasi dikenali sebagai Persatuan Rantau Putra yang turut sama menyokong kenyataan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Sabah, Datuk Mohd Akjan Datu Ali Muhammad terhadap bantahan penubuhan RCI di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Sanon tidak menafikan kerajaan sememangnya mempunyai tahap keprihatinan yang tinggi terhadap bekas pasukan keselamatan di negara ini.

Katanya, bekas anggota tentera negeri ini turut menyambut baik Bajet 2012 yang turut memperuntukkan sumbangan sebanyak RM3,000 secara 'One Off' kepada bekas pasukan keselamatan di negara ini.

Sanon berkata, usaha membantu bekas pejuang itu merupakan satu penghargaan terhadap pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Bagaimanapun, beliau berharap bajet sumbangan tersebut yang hanya diluluskan kepada bekas polis itu perlu diperluaskan kepada bekas tentera yang turut sama melakukan perjuangan memastikan negara ini bebas dari sebarang ancaman luar.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta kerajaan agar mengkaji semula kelulusan peruntukkan bajet sumbangan sebanyak RM3,000 secara 'One Off' itu bagi membolehkan agehan sama rata dalam kalangan bekas pasukan keselamatan lain dapat dilaksana secara menyeluruh termasuklah bekas tentera.

No comments:

Post a comment