Sunday, 25 December 2011

ANTARA SANTA CLAUS DENGAN SANTA ‘CLOWN’?



Oleh : MUTALIB M.D

TIDAK dinafikan semua penduduk Sabah yang beragama Islam agak terkejut apabila Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin, mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa pemakaian topi ‘Santa Claus’ adalah HARAM, tetapi bagi saya ‘tidak salah’ untuk tujuan grafik dan bukannya untuk bermegah-megah atau memesongkan akidah saya terhadap ketauhidan Illahi.

Dalam kemeriahan sambutan Hari Krismas di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada tepat jam 12 tengah malam tadi, lebih 50,000 orang membingitkan telinga dengan sorakan dan pekikan hon sambil menyembur ‘Foam Salji’ tiruan kepada tetamu atau rakan; termasuk membuang sampah sarap yang bukan kepalang, saya teringat mahu menjawab surat Peguam Ling Lo & Zamzuri yang mewakili Guru Besar SK Kulambai, Haji Madrin Bin Yakub yang saya fikir sebagai ‘Santa Clown’ kerana pandai melawak di alam siber.

Surat Peguam Tetuan Ling Lo & Zamzuri telah disiarkan Sabahkini.net bertajuk ‘SK Kulambai Head Master Demand Appology’ dan saya rasa cukup dengan menjawabnya di Sabahkini.net kerana semua pertikaian yang dibangkitkan tidak relevan untuk saya jawab; apatah lagi adalah pengakuan ikhlas bapa mangsa yang telah membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pelajaran dan Polis.

Merujuk kepada kes Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar yang diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim di Mahkamah Tinggi Ipoh bahawa beliau hanya boleh diwakili oleh pegawai undang-undang negeri dan bukan peguam persendirian yang dilantiknya; maka saya membuat keputusan untuk tidak menjawab surat peguam persendirian Haji Madrin yang baru saya terima melalui pos berdaftar pada 22 Disember 2011.

Saya tidak kenal siapa itu Haji Madrin Yakub dan tidak pernah mempunyai sebarang niat malafide terhadap Guru Besar ini yang saya anggap belum sempat belajar ‘tanda baca dan nahu’ Bahasa Melayu; sehingga tersasar jauh membuat tuduhan liar menyalahkan saya sebagai wartawan yang merakam percakapan dengan bapa mangsa.

Memandangkan Haji Madrin adalah Pegawai Awam dan bukannya orang perseorangan, apatah lagi jawatannya disebut sebagai ‘Guru Besar’ maka hanya Peguam Negara Malaysia yang boleh mewakili beliau; melainkan dalam kes peribadi.

Dalam artikel berkenaan, saya bertanya Guru Besar SK Kulambai Atau ‘Ketua Mafia’? Ayat Tanya (?) sudah jelas menunjukkan bahawa saya tidak menuduh atau mempunyai niat untuk menuduh Haji Madrin sebagai ‘Ketua Mafia’ sekalipun perlakuannya mendera mangsa melakukan ‘ketuk ketampi’ adalah keterlaluan dan ‘barbarian’.

Sehubungan itu, saya merasakan tidak perlu meminta maaf kerana telah membuat ulasan yang terbaik dan memberikan peluang saksama kepada beliau untuk memberikan ulasan melalui ruangan Disquss pada 28 dan 29 November 2011.

Mengikut catatan di ruangan Disquss artikel ‘Guru Besar SK Kulambai Atau Ketua Mafia?’ Haji Madrin telah secara sukarela menjawab segala isu yang ditimbulkan melalui artikel berkenaan.

Pada Jam 12.52 pagi 28 November 2011, Haji Madrin Yakub telah menulis komen yang berbunyi;

“Penjelasan Dari Persoalan Tuduhan Dalam Penyebaran Berita Melalui Internet Terhadap Peribadi Saya (Haji Madrin Bin Yakub, Guru Besar SK Kulambai, Kota Belud.)

Saman malu akan dikira berapa lama penyebaran berita dalam blog ini disiarkan.

Persoalan:

Kalau saya Ketua Mafia sebagaimana dituduh oleh penama;

1) Berapa ramai telah saya bunuh?

2) Siapakah mereka yang telah saya bunuh?

3) Dimanakah kubur orang yang telah saya bunuh?

4) Dimanakah pusat penyebaran dadah saya?

6) Dimanakah bukti bahawa saya menyertai rangkaian pengedaran dadah?

7) Adakah keahlian saya dalam pengedaran dadah dunia?

8) Adakah dengan KES seperti itu sama dengan perbuatan dan tindakan ketua mafia?

Kalau Ketua Mafia kerjanya edar dadah, seludup manusia, bunuh orang dan lain-lain lagi perbuatan salah. Adakah seperti itu kerja saya selama ini? Kalau itulah kerja saya, saya tidak takut dipenjara atau dibunuh sekalipun kerana sememangnya saya salah.

Akan tetapi saya bukan seperti yang dituduh. Perbuatan salah seperti itu amat bertentangan dengan jiwa saya, lebih-lebih lagi bertentangan dengan amalan agama dan undang-undang negara.

Perbuatan dan tindakan seperti itu bukan kerja pendidik apatah lagi sebagai Guru Besar yang sentiasa mempastikan kerja dan disiplin sekolah sentiasa dipatuhi untuk kebaikan dan kejayaan semua murid di sekolah mahupun di luar sekolah atau untuk kebaikan mereka sepanjang masa.

Apa yang dikatakan oleh 'Haji' kepada saya, Guru Besar SK. Kulambai, tidak semuanya betul walaupun dia bergelar Haji / bertitle Haji. Misalnya ketuk ketampi yang dikatakan dikenakan kepada anaknya sebanyak 70 kali manakala pelajar lain sebanyak 5 hingga 10 kali sahaja sedangkan apa yang berlaku anaknya melakukan sebanyak 53 kali sahaja.

Bilangan ketuk ketampi kepada pelajar yang lain bukan 5-10 kali tetapi bilangannya lain daripada itu. Begitu juga laporan polis yang dibuat oleh HAJI TERSEBUT KEPADA PIHAK SEKOLAH ADALAH LAIN daripada apa yang berlaku dan boleh dianggap LAPORAN PALSU. Polis dan pihak PPD bukan sewenang-wenangnya mengikut apa yang diminta oleh Haji tersebut kalau tidak logik dan tidak betul.

Kalau dianggap oleh Haji tersebut apa yang berlaku kepada anaknya suatu kezaliman, penderaan dan sama dengan tindakan Ketua Mafia saya kira ramai Guru Besar dan guru tidak layak sebagai Guru Besar dan Guru kerana telah pernah bertindak sedemikian rupa.

Dan mereka ini semua zalim, tidak bertimbang rasa, tidak berperikemanusiaan dan lebih layak sebagai Ketua Mafia. Guru Besar dan ada guru mendenda bukan 50 kali ketuk ketampi malah 100 kali dan ada 200 kali sehingga semua kaki murid yang didenda ketuk ketampi itu sakit dan ada itu susah menaiki tangga rumah akan tetapi tiada sikit-sikit ibu bapa murid tersebut menyerang sekolah dan guru.

Orang lain yang telah didenda lebih banyak daripada itu tidak pula ada sakit selepas daripada itu. Kalau ada sakitpun tetapi sakit yang sememangnya ada sedia kala. Hanya ketuk ketampi sebanyak itu / seperti itu dijadikan alasan menyalahkan sekolah.

Kalau perlu Haji tersebut tengok-tengoklah Semua Guru Besar dan guru di Sabah ini khasnya di Malaysia ini amnya tentang perkara ini. Jangan fikir anak sendiri sahaja. Sebenarnya apa yang berlaku bukan sebagai kezaliman dan penderaan (tiada guru tidak sayang akan anak muridnya) akan tetapi merupakan satu pengajaran kepada semua murid supaya mereka sentiasa mengamalkan sikap berdisiplin dalam diri mereka supaya mereka menjadi manusia yang amat-amat berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara di suatu masa nanti.

Rata-rata mereka menyatakan dan bersyukur bahawa mereka yang pernah didenda pada suatu masa dahulu telah menjadi manusia bukan menjadi binatang atau bersifat kebinatangan pada hari ini.

Walau bagaimanapun saya ingatkan Haji yang membuat berita/cerita di ruangan ini agar dapat menjawab persoalan ini di balai polis dan di mahkamah nanti. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan ruangan ini untuk memfitnah dan memalukan saudara sendiri kerana besar kesan dan risikonya.

DAN JANGAN HANYA NAMPAK KUMAN DI SEBERANG LAUTAN, GAJAH BERTENGEK DI KELOPAK MATA TIDAK KELIHATAN. Sebagai kakitangan awam lebih-lebih lagi sebagai Penolong Pegawai Daerah Pitas Haji/Ustaz mesti tahu Etika dan Budaya perkhidmatan awam yang perlu sentiasa dipelihara, dijaga dan dipatuhi.

Kita tahu di sekolah Guru Besar dan Guru merupakan ibu bapa kedua kepada anak-anak. Kita takut komen-komen negatif daripada semua pembaca ruangan ini 'ketulahannya' bukan sahaja akan menimpa anak-anak pembaca akan tetapi yang banyak menerima tempiasnya ialah anak 'Haji' itu sendiri kerana membuka ruangan ini untuk didebatkan.

Sekian sahaja penjelasan dan ulasan saya, Haji Madrin Bin Yakub, Guru Besar SK. Kulambai. Mudah-mudahan semua pihak dapat menerimanya dengan dada terbuka dan hati yang lapang supaya dapat mengetahui kedudukan perkara yang sebenarnya

Manakala pada jam 1.14 pagi 29 November 2011, Haji Madrin Yakub telah mengulas bahawa;

Penjelasan Kedua Daripada Guru Besar SK Kulambai Yang Dituduh Oleh Orang Yang Bergelar Haji Sebagai Ketua Mafia?

Sebenarnya mungkin apa yang orang tidak tahu dalam ruangan ini saya selaku Guru Besar SK. Kulambai sudah menggunakan jalan perundingan dengan pihak Haji/Ustaz itu dan telah membawa anaknya kepada seorang pakar urut di Kampung Bobot, Kota Belud.

Tukang urut tersebut telah mengurut kaki anaknya yang rasa sakit dan kebas itu. Kita sedia maklum rasa kebas kaki ini bukan sahaja akibat ketuk ketampi tetapi apabila banyak berjalan, senaman, lumba lari dan lain-lain lagi boleh juga menyebabkan kaki rasa sakit dan rasa kebas.

Kadang-kadang masa kita tidur datang juga sakit/kebas kaki kita. Barangkali Haji satu ini seorang yang benar-benar kuat tidak pernah mengalami perkara demikian seumur hidupnya.

Selepas kaki anak Haji tersebut diurut, rasa sakit dan kebas kaki anaknya hilang. Dia juga boleh berjalan seperti biasa. Pada keesokannya (Hari Khamis) dia pergi ke sekolah seperti biasa hingga Haji tersebut berjumpa saya bahawa kes kaki anaknya selesai.

Akan tetapi pada awal pagi keesokan harinya (Hari Jumaat) isteri Haji tersebut datang memberitahu pihak sekolah bahawa kaki anaknya sakit semula dan perlu dibawa ke rumah sakit.

Menurut tukang urut yang mengurut kaki anaknya itu menyatakan bahawa kaki anaknya itu memang ada sakit sedia di bahagian bawah. Untuk makluman sakit semula kaki anaknya itu adalah berpunca turun naik di bangunan sekolah 3 tingkat di mana kelas belajar anaknya ditempatkan.

Selain anaknya dibawa ke rumah sakit untuk pemeriksaan, dia juga melaporkan saya ke Balai Polis Kota Belud. Memandangkan perkara tersebut telah dilapor ke balai polis oleh bapa murid yang bergelar Haji maka saya memikirkan bahawa dia tidak suka mengambil jalan perundingan dan dia lebih suka menyalahkan pihak sekolah terutama saya sendiri.

Selepas saya menerima salinan laporan polis yang dibuat oleh Haji tersebut maka pada hari itu juga (Hari Isnin) saya terus ke balai polis untuk memohon penjelasan mengenai laporan polis itu. Kata pihak polis kes tersebut adalah kes biasa sahaja dan perlu diselesaikan di peringkat sekolah bukan perlu diambil tindakan oleh pihak polis.

Justeru itu, sepatutnya sebagai ibu bapa perlu menerima keputusan dan penyelesaian secara baik dan harmoni seperti yang ditetapkan oleh saya selaku Guru Besar sekolah ini lebih-lebih lagi pihak sekolah telah membantu merawat sakit kebas kaki anaknya dan begitu juga antara saya dengan pihak isterinya adalah bersaudara.

Bagi saya sebagai Guru Besar perlu bersikap adil dan bertanggungjawab kepada semua murid bukan sahaja untuk anak orang lain apatah lagi saudara sendiri. Setahu saya selama ini TIADA perasaan dendam dan permusuhan di antara kami sesama keluarga kalau bukan masalah kebersihan kelas semata-mata di mana anak Haji itu adalah Ketua Kelas di situ dan kelas itu didenda kesemua muridnya kerana TIDAK melaksanakan tanggungjawab menjaga dan membersihkan sampah mereka pada hari itu.

Apa yang menyulitkan apabila Haji tersebut tergamak memfitnah dan mengaibkan saya melalui ruangan ini sehingga ada yang membuat komen-komen negatif akibat pendedahan Haji tersebut. Saya doakan kepada orang yang melemparkan komen-komen negatif kepada saya terutama kalau dia bergelar ibu bapa murid sekolah semoga selamat, hidup aman, panjang umur, dimurahkan rezeki dan anak-anak dapat kejayaan dalam pelajaran.

Mungkin di suatu masa nanti kita dapat kenal mengenali juga, tidak di dunia ini di akhirat tetap akan berjumpa juga. Tiada niat saya mahu kekal selama-lamanya untuk menjadi Guru Besar, lebih-lebih lagi di SK. Kulambai ini kerana saya tahu jawatan ini hanya pinjaman sementara sahaja.

Kalau saya tidak boleh memajukan sekolah saya sedia dipecat atau diberhentikan. Kepada mereka yang merasa lebih pandai bolehlah memohon sebagai Guru Besar SK. Kulambai. Apa yang saya mahu ialah ingin melihat anak bangsa Kg. Kulambai dan sekitarnya maju dalam pelajaran dan boleh bersaing dengan orang lain di samping mengamalkan nilai-nilai disiplin yang tinggi sesuai seperti mana yang dituntut oleh agama dan negara.

Saya ingatkan Haji tersebut dan merupakan Ustaz juga yang lebih tahu hukum-hukum agama kalau dia suka sewenang-wenangnya memalukan/ mengaibkan saya di khalayak ramai seperti ini dia sendiripun tidak dapat lari daripada dimalukan atau diaibkan oleh orang lain terutama apabila kita melihat dan merujuk komen-komen yang ditujukan kepada Haji tersebut.

Begitu juga kepada penulis yang diarah/diupah oleh Haji tersebut tidak terlepas daripada komen-komen negatif. ALLAH itu amat adil dan maha melihat setiap APA yang kita KERJAKAN.”

Tambahan pula Sabahkini.net telah memberikan NOTIS BERAMARAN di dalam petak merah di kiri laman yang menyebut bahawa;

“Apa juga komen yang dibuat di dalam laman web ini adalah terletak HAK kepada PARA PENGOMEN dan BUKANNYA di bawah tanggung jawab editor atau Sabahkini.net (sama seperti seorang penumpang yang membawa bahan berbahaya/larangan di dalam pengangkutan awam).

Jika ada sebarang SAMAN atau tindakan mahkamah hendaklah DIRUJUK TERUS kepada PARA PENGOMEN kerana ia bukanlah komen dari Sabahkini atau bagi pihak Sabahkini atau pandangan Sabahkini.

Sabahkini mengamalkan dan menyokong 'MSC' Malaysia Bill Of Guarantees' (BoG No 7) iaitu tidak menapis internet.”

No comments:

Post a Comment