Wednesday 28 December 2011

JANGAN CABAR ARTIKEL 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN



Oleh : MOHD FARHAN DARWIS (TMI)

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mendesak kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mempersoalkan Perkara 153 Perlembaan negara dan mendakwa mereka menggunakan Akta Hasutan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) menegaskan, tindakan sedemikian adalah perlu bagi menghalang kenyataan-kenyataan sedemikian dikeluarkan pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengelakkannya daripada terus mempengaruhi generasi muda dan mengakibatkan mereka memandang serong terhadap masyarakat Bumiputera.

“Perkasa melahirkan rasa kesal dan tidak senang hati berkenaan kenyataan seorang Ketua Gereja semasa sambutan Krismas baru-baru ini, Rev Dr Eu Hong Seng yang persoalkan Perlembagaan 153 sebagai akta yang membuli kaum lain.

“Kami menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mempersoalkan perkara 153 ini di bawah Akta Hasutan, kerana dilihat perkara ini akan mempengaruhi generasi muda untuk memandang serong terhadap kaum Bumiputera.”

Tambahnya, biar mahkamah yang menentukan keputusan perkara berkenaan setelah ianya dibawa ke muka pengadilan.

“Kami hanya menuntut kerajaan gunakan Akta Hasutan, bukannya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kita lihat keputusan mahkamah, siapa salah dan siapa betul,” katanya.

Menurut Ibrahim, perkara itu dilihat sebagai satu hasutan untuk menimbulkan provokasi dan Perkasa menganggapnya sebagai tidak bertanggungjawab.

“Perkasa ingin memberi ingatan kepada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan jangan cuba menjolok sarang tabuan, kami sudah terlalu lama bersabar,” katanya yang menegaskan pertubuhan itu bukan menentang kaum lain, tetapi sekadar memperjuangkan hak dan keamanan negara.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas ini lagi, perkara 153 sebelum ini pernah menjadi polemik negara, bagaimanapun penjelasan lengkap sudah diberikan.

“Perkara itu merupakan kontrak sosial yang harus dihormati kaum lain kerana hak mereka turut dijamin di dalamnya,” tegasnya lagi.

Menurutnya, terdapat segelintir Melayu liberal yang turut menyokong kenyataan Rev Eu itu, seperti Prof Dr Aziz Bari, namun jelasnya, itu merupakan pendirian peribadi mereka.

“Perkasa sedar terdapat segelintir golongan Melayu liberal seperti Prof Aziz yang menyokong kenyataan Rev Eu, itu hak mereka, tetapi Perkasa menuntut agar perkara ini tidak dijadikan isu,” tegasnya lagi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan membawa perkara itu kepada pihak polis, Ibrahim menjelaskan, mereka sudah terlalu banyak membuat laporan polis namun tiada tindakan diambil setakat ini, tetapi pihaknya tidak menolak akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment