Wednesday 28 December 2011

LAJIM KETUA ‘SABAH PEOPLE FRONT’?



Oleh : SHAIMON S JUMADI

PENUBUHAN sebuah parti politik di Sabah yang telah diasaskan oleh beberapa orang pemimpin kanan UMNO dan BN di negeri ini tidak lagi berselindung di sebalik tabir; malah sudah semakin jelas dan kini menjadi tajuk perbualan di sana-sini, termasuk di kalangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri.

Parti tersebut yang bakal dilancarkan secara besar-besaran pada 15 Januari atau 26 Januari 2012 di Dongggongon, Penampang kerana pendaftarannya telahpun diluluskan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) baru-baru ini.

Menurut cerita beberapa orang ahli UMNO daripada kawasan Beluran yang tidak mahu disebut nama mereka di portal ini; tujuan menubuhkan parti berkenaan disebabkan sebilangan besar ahli-ahli UMNO di negeri ini sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan negeri.

Kata mereka, Kabinet Negeri Sabah terlalu tunduk dengan kehendak-kehendak pucuk pimpinan pusat sehingga sebagai Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional tidak berani membuat sebarang keputusan untuk negeri ini; melainkan semuanya hendaklah dirujuk kepada pihak Kuala Lumpur atau Putra Jaya.

Sumber itu lagi menamakan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Haji Okin akan mengetuai parti baru yang dinamakan ‘SABAH PEOPLE FRONT’ (SPF) tetapi enggan mendedahkan nama empat lagi pengasas parti berkenaan, termasuk seorang Menteri Kabinet Sabah dan dua Ahli Parlimen.

Sabahkini.Net juga telah diberi tahu antara sebab musababnya kenapa Datuk Lajim bertindak menubuhkan parti baru dan berhasrat akan meninggalkan UMNO pada masa terdekat ini, adalah ekoran kononnya anak kepada Ketua Menteri Sabah, Hafiz Musa akan dicalonkan pada (PRU-13) ini di kawasan Beaufort untuk menggantikan tempat beliau; sementara itu anak saudara Ketua Menteri akan bertanding di kawasan Keningau untuk menggantikan tempat Datuk Hj Sairin Hj Karno.

Apapun kata ahli UMNO itu, kita lihat sendiri akan perkembangan selanjutnya sama ada benar kelima-lima pemimpin kanan UMNO Negeri yang terlibat sama dalam barisan Ahli Penaja Penubuhan Parti Baru itu kita lihat dan tunggu apa yang bakal terjadi antara 15 hingga 26 Januari 2012 kelak.

Mereka juga telah menyebut nama seorang pemimpin daripada parti UPKO iaitu Datuk Wilfred Mojilip Bumburing akan menyertai parti tersebut; namun masih di peringkat spekulasi atau sengaja direka cerita untuk menarik perhatian ahli-ahli politik atas pagar atau untuk para penganalisa politik tanah air.

Sabahkini.Net yang mengikuti sedikit sebanyak mengenai perkembangan penubuhan parti baru ini iaitu SPF tidak menafikan di mana saja kita duduk dan berada; sama ada di warung, kedai kopi dan juga termasuk restoran mamak, tidak lain yang diceritakan oleh ahli-ahli UMNO ialah pasal penubuhan parti baru itu.

Dalam pada itu, ada juga mereka yang menyokong tindakan kelima-lima barisan pemimpinan kanan UMNO yang berani bertindak menubuhkan parti baru ini walaupun mereka bakal dianggap sebagai satu komplot untuk keluar dari ranjau-ranjau besi UMNO dan selanjutnya akan menjatuhkan atau turun dari takhta kerusi empuk kerajaan BN negeri Sabah pada menjelangnya pilihanraya umum nanti.

Jika benar dan nyata maklumat yang disampaikan oleh beberapa orang ahli Bahagian UMNO Beluran itu mengenai perkembangan penubuhan parti baru yang diasaskan oleh lima orang tersebut; kita akan lihat dan tunggu bentuk tindakan yang bakal diambil oleh para pucuk pimpinan UMNO kepada mereka yang bakal dicap sebagai petualang-petualang UMNO/BN Sabah itu nanti.

No comments:

Post a Comment