Saturday 31 December 2011

KENAPA KERAJAAN ENGGAN TUBUHKAN RCI?



SEJAK awal-awal lagi Parti Maju Sabah telah membuat desakan dan kerjasama badan-badan NGOs dan parti-parti politik di Sabah supaya menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bersabit dengan pendatang tanpa izin.

Desakan ini bukanlah melibatkan soal bangsa atau agama, tidak sekali, tetapi ianya difokuskan kepada soal undang-undang Negara, peraturan dan kedaulatan negara kita Malaysia. Isu ini tidak akan mengakibatkan sensitiviti sesiapa, khususnya rakyat Malaysia di Sabah. Jangan sesiapa berani membuat kenyataan untuk menakut-nakutkan rakyat negeri ini tentang penubuhan RCI.

Desakan Parti Maju Sabah (SAPP) bersabit dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukanlah perkara baru. Inisiatif SAPP berkenaan dengan ini telah diusahakan sejak beberapa tahun yang lalu.

Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sudah menjadi masalah universal di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia atau di Sabah khasnya.

Tidak ada satu negara di dunia ini yang bersetuju dan membenarkan kemasukan pendatang-pendatang tanpa izin. Kemasukan pendatang tanpa izin yang tidak terkawal menggambarkan kelemahan sistem kawalan Negara dan mencabuli kedaulatan negara.

Tanpa ditangani masalah ini akan menimbulkan situasi huru-hara dan menjejaskan keamanan dan keharmonian sesebuah negara atau negeri. Akan wujud masalah sosial, meningkatnya tahap jenayah dan menimbulkan masalah identiti, sebuah negeri/negara yang memerlukan keamanan dan kestabilan.

Menyingkap usaha SAPP atas perkara ini, pada 6 April 2011 lebih daripada 50,000 rakyat Malaysia di Sabah telah menandatangani Petisyen untuk merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) demi untuk menyelesaikan masalah PATI yang sudah sampai jumlah ratusan ribu di Sabah.

Petisyen tersebut telahpun disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Muhiddin Yasin semasa persidangan parlimen oleh rombongan SAPP yang diketuai oleh Datuk Eric E. Majimbun, Ahli Parlimen Sepanggar. Salinan surat rayuan tersebut juga telah disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj. Aman.

Sesiapa sahaja berhak memohon Kad Pengenalan (I.C) melalui proses-proses yang sah dan telus menurut Undang-undang yang diaktakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

Tujuan dan objektif Parti Maju Sabah (SAPP) mendesak supaya RCI ditubuhkan memandangkan beberapa faktor penting yang harus diambil kira:

1. Meneliti dan mengkaji kebanjiran PATI di Sabah;

2. Membuat penyiasatan yang terperinci terhadap kenaikan mendadak kadar pertumbuhan penduduk di Sabah;

3. Memastikan pembersihan daftar pengundi di Sabah;

4. Membuat penyiasatan yang terperinci tentang pengeluaran Kad Pengenalan (Projek I.C) kepada pemohon-pemohon yang tidak berkelayakan.

Sebagaimana yang diketahui, Kerajaan telah menubuhkan beberapa badan penyiasatan seperti Makmal PATI, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Pelancaran Konsep 5P dan 6P dalam tahun ini; tetapi malangnya tidak ada tindakan lanjut dan keputusan muktamat dilaksanakan demi untuk menyelesaikan masalah PATI yang sudah berlarutan sekian lama di negeri ini.

Dengan itu, atas rayuan rakyat Malaysia di Sabah dan desakan Parti Maju Sabah, badan-badan NGOs dan parti-parti politik sama ada pembangkang dan komponen Barisan Nasional Sabah, Kerajaan Pusat harus memberi pertimbangan yang sewajarnya dan prihatin terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera. (MEDIA SAPP)

No comments:

Post a Comment