Saturday 24 December 2011

BERI PELUANG GSTT SABAH KE IPTA/IPG

SUMBANGAN….Jamawi ketika menyerahkan sumbangan kepada Kapitan Cina Tenom semasa perjumpaan tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

DARI 578 orang Guru-guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), di Sabah yang diperjuangkan oleh Pergerakan Pemuda Umno Tenom agar kontrak mereka disambung untuk terus berkhidmat sebagai GSTT di negeri ini, hanya 185 sahaja yang mendapat tawaran untuk mengikuti kursus KPLI.

Selebihnya seramai 345 tidak mendapat tawaran tersebut kerana sebahagiannya berkhidmat kurang daripada dua tahun, salah satu pra-syarat Kementerian Pelajaran untuk menyambung kontrak atau menyerapkan mereka ke kursus KPLI, sementara ada yang sudah berkhidmat di sektor lain.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, Pemuda Umno Tenom yang telah berusaha memperjuangkan nasib GSTT di Sabah sebelum ini, berharap agar guru-guru yang masih belum menerima tawaran tersebut dan layak dari segi syarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran; wajar diberikan peluang serta keutamaan berdasarkan pengalaman dan minat mereka dalam bidang perguruan

“Kita berharap baki yang ada dan belum mendapat tawaran pihak Kementerian Pelajaran wajar memberikan pertimbangan, ini kerana masih terdapat keperluan bagi mengisi kekurangan guru khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Tiong Hwa di Pejabat Pergerakan Pemuda Umno Tenom, kelmarin.

Menurut Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom, walaupun ada di kalangan guru-guru yang tidak mencukupi syarat dua tahun mengajar, namun sebilangan mereka berpengalaman kerana sebelum berkhidmat sebagai GSTT, ada di kalangan mereka menjadi guru pengganti dan pernah berkhidmat di sekolah-sekolah swasta di negeri ini.

BINCANG…Jamawi semasa mengadakan perjumpaan bersama masyarakat Cina Tenom.

Tambah Jamawi, bagi menangani isu mereka yang layak dan masih belum menerima tawaran ini, Pergerakan Pemuda Umno Tenom telah pun menghantar surat rayuan rasmi berserta dengan senarai GSTT yang terlibat yang masih menunggu tawaran kepada pihak berkenaan.

Selain itu, Jamawi juga berharap isu penempatan graduan pendidikan UPSI/IPTA dan UNIRAZAK juga seharusnya dapat diselesaikan seberapa segera agar nasib anak muda ini dapat dibela dan mampu menyumbang untuk memperkasakan mutu pendidikan Negara.

Pergerakan Pemuda Umno Tenom juga berharap sekiranya penempatan belum dapat dilaksanakan untuk kursus KPLI untuk ambilan januari tahun depan, baki sebanyak 345 GSTT yang belum menerima sebarang tawaran ini, kementerian dapat mempertimbangkan untuk disambung kontrak mereka secara berkhidmat secara kontrak 'Contract Of Service' selama setahun agar mereka cukup syarat untuk memasuki KPLI pada ambilan akan datang,

No comments:

Post a Comment