Saturday 10 December 2011

BN GALAK RASUAH, BUKAN BANTERAS



PARTI Maju Sabah (SAPP) berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada hari ini menggalakkan rasuah, bukannya membanteras gejala itu.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun berkata, keadaan itu jelas dapat dilihat apabila Kerajaan BN sedang giat memberi wang kepada rakyat termasuk kanak-kanak sekolah tatkala pilihan raya kali ke-13 menjelang tiba.

"Pemberian wang sebanyak RM100 kepada setip pelajar sekolah dan RM500 kepada rakyat dewasa apabila pilihanraya kali ke-13 bakal menjelang tiba menunjukkan Kerajaan BN mengamalkan rasuah sekaligus menggalakkannya.

"Memberi wang tunai kepada pelajar sekolah juga bererti menggalakkan rasuah di peringkat awal. Kanak-Kanak sekolah tidak sepatutnya ditunjuk ajar bagaimana rasuah boleh diterima.

"Kononnya pemberian wang kepada para pelajar dan rakyat dewasa merupakan bantuan kepada rakyat adalah tidak benar kerana pemberian itu dibuat apabila pilihan raya menjelang tiba," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Eric selaku Timbalan Presiden SAPP berkata, kenyataan Ketua Menteri Datuk Musa Aman bahawa Kerajaan BN Sabah akan terus memperbaiki dasar-dasar dan prosedur tertentu termasuk bidangkuasa dan memperkasa tindakan undang-undang serta penguatkuasaan hanyalah retorik semata-mata.

Katanya, rakyat Sabah kecewa dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang mengamalkan ‘Double Standard’ dalam memerangi rasuah kerana pada satu ketika berkata ingin membanteras rasuah tetapi sebaliknya merasuah kanak-kanak sekolah dan rakyat dewasa dengan memberi wang tunai.

Katanya, memberi wang tunai kepada kanak-kanak sekolah dengan mengambil gambar beramai-ramai bersama para pelajar itu dan seterusnya menerbitkannya di akhbar-akhbar tempatan jelas menunjukkan Kerajaan BN sebenarnya sedang mempromosi rasuah.

Eric berkata, bagaimanakah Kerajaan BN banteras rasuah jika perang dingin terhadap rasuah dipalit dengan promosi terhadap rasuah diperingkat sekolah.

Katanya, peribahasa ‘ikan buruk bermula dengan kepalanya,’ sememangnya kena dan sesuai dengan cara dan bentuk kepimpinan Kerajaan BN pada masa ini.

Beliau berkata, cara hidup dengan kemampuan yang jauh berbeza jelas menunjukkan Kerajaan BN sebenarnya menggalakkan rasuah.

No comments:

Post a Comment