Thursday 8 December 2011

DAKWAT KEKAL: SPR OK, TUNGGU MAJLIS FATWA



PENGGUNAAN dakwat kekal pada pilihan raya umum kali ini kini hanya memerlukan kelulusan Majlis Fatwa Kebangsaan dari segi kandungan dalam bahan tersebut kelak, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, seiring dengan keputusan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang memutuskan untuk menggunakannya, dakwat kekal yang akan dibeli akan dikemukakan kepada majlis itu untuk penilaian dan ujian tentang kandungannya supaya ia tidak bertentangan dengan Islam.

“Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memberi kelulusan kepada penggunaan dakwat kekal sebelum ini, cuma apabila kita beli nanti, apabila tiba bekalan nanti, kita kena beri kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk ujian kandangan dalam dakwat kekal supaya ia tidak meragukan umat Islam,” kata beliau.

Penggunaan dakwat kekal adalah antara 10 cadangan yang dikemukakan dalam laporan awal yang dibentangkan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi pembahruan sistem pilihan raya di negara ini di Dewan Rakyat minggu lalu.

Agensi seperti SPR yang dinamakan dalam laporan itu diberikan tempoh dua minggu bagi melaksanakan cadangan berkenaan.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberi butiran berapa lama diperlukan bagi SPR untuk memperoleh bekalan dakwat kekal walaupun laporan media sebelum ini menyebut ia akan memakan masa dua bulan.

“Sementara PSC membuat kajian hari itu, kami juga sudah pun melakukan kajian kami sendiri, berdasarkan jangkaan, ia akan diperoleh sebaik sahaja semua urusan berkaitan selesai,” katanya lagi.

Malah beliau juga enggan memberitahu dari mana bekalan itu akan diperoleh.

Pada pilihan raya umum 2008, SPR memperoleh bekalan dari India dengan kos dianggarkan dalam sekitar RM4 juta.

Bagaimanapun penggunaannya dibatalkan pada saat-saat akhir atas alasan keselamatan dan perundangan.

Mengenai prosedur pelaksanaannya, kata Wan Ahmad, pihaknya sedang menunggu peraturan yang sedang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Itu kena tunggu. Kami akan mengumumkan sebaik sahaja kajian Jabatan Peguam Negara selesai,” kata beliau ketika ditanya mengenai cara pelaksanaannya termasuk jari yang akan digunakan untuk dicalit dengan dakwat kekal.

Wan Ahmad juga enggan menjawab apabila ditanya sama ada seseorang akan hilang hak mengundi jika enggan jarinya dicalit dengan dakwat kekal.

“Tunggulah, sehingga peraturan berkenaan siap dirangka. Itu saya tidak cakap,” kata beliau lagi. (TMI)

No comments:

Post a Comment