Thursday 15 December 2011

ILMU TONGGAK TAMADUN DAN KECEMERLANGAN



SIJIL...Azizah menyampaikan sijil kepada murid Kafa Kg Selagon Beaufort.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

ILMU pengetahuan adalah tonggak kepada pembinaan sesebuah tamadun dan menjadi asas yang kukuh bagi mencapai kecemerlangan; terutama dalam menuju aspirasi negara maju yang berpendapatan tinggi, kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan yang mampu melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata untuk mencapai matlamat itu kerajaan terus berusaha menyedaikan pelbagai kemudahan dan bantuan

Bantuan itu katanya, termasuklah Komputer 1Malaysia yang dilancarkan pada Mei tahun lalu bertujuan mewujudkan sentuhan komunikasi IT yang bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar, tetapi juga kepada isirumah dalam matlamat mencapai 1 rumah, 1 komputer untuk meningkatkan komuniti celik IT.

“Kerajaan juga kini memberikan bantuan Susu 1 Malaysia untuk memastikan murid-murid sekolah menerima protein dan zat susu untuk perkembangan minda dan fizikal yang sihat,” katanya sambil menambah melalui Bajet 2012 kerajaan bersetuju memberi bantuan persekolahan RM100 setiap seorang kepada semua pelajar termasuk 500,000 pelajar sekolah swasta di seluruh negara.

Beliau berkata, kerajaan juga sangat prihatin terhadap kebajikan golongan berpendapatan rendah dengan itu kerajaan juga telah bersetuju untuk memberi bantuan RM500 kepada yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Bantuan ini meringankan kos sara hidup masakini. Setidak-tidaknya RM500 tersebut dapat digunakan untuk menampung beberapa kos sara diri sampingan seperti minyak kereta, barang keperluan dapur, bil, dan keperluan lain,” katanya ketika merasmikan Hari Kecemerlangan Pelajar Kafa & Hari Keluarga Kg. Selagon, Beaufort, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Selagon merangkap pengerusi penganjur, Awang Damit Berani.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias seterusnya menyeru agar ibu bapa megambil peranan penting dan memberi sokongan padu dalam pendidikan anak-anak.

“Saya percaya kehadiran ibu bapa yang ramai pada hari ini adalah atas keinginan untuk bersama meraikan kejayaan anak-anak. Kepada pelajar yang diraikan, saya ingin berpesan supaya para pelajar sekalian akan meneruskan pengajian dan berusaha memiliki jati diri yang terpuji, menjaga nilai-nilai murni dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan negara,” katanya.

BUAH TANGAN....Azizah menerima buah tangan daripada pihak penganjur Hari Kecemerlangan Pelajar Kafa & Hari Keluarga Kg. Selagon, Beaufort.

KUIH MUIH......Azizah kelihatan menikmati kuih muih yang dihasilkan oleh peserta pertandingan masakan.

Beliau berkata komuniti juga perlu bertindak sebagai badan sokongan dengan mewujudkan persekitran kampung yang peka terhadap kegiatan anak-anak muda yang dikhuatiri mudah terjerumus dalam masalah sosial.

“Anak-anak muda merupakan aset yang perlu dipelihara demi melengkapkan pewaris pemimpin masa hadapan yang berdaya saing dan berktrampilan.

“Anak-anak yang telah berjaya kelak, jangan sekali-kali lupa untuk kembali berbakti di kampung sendiri. Lakukan lah sumbangan kepada tanah sendiri juga kepada Negara sebagai tanggungjawab dan rasa terima kasih untuk kejayaan yang telah dimiliki,” kata Azizah lagi.

Pada majlis yang diserikan dengan persembahan nasyid, bacaan al-Quran dan persembahan azan itu Azizah telah menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid Kafa. Beliau juga telah menyamaikan sumbangan sebuah mesin rumput dan pam air untuk kegunaan penduduk.

No comments:

Post a Comment