Wednesday 21 December 2011

ISU NFC, GONCANG POLITIK NASIONAL



Oleh : CHANG SHAK HUNG

KEMELUT berhubung dengan penternakan lembu yang dikatakan melibatkan ahli keluarga terdekat seorang Menteri Persekutuan, yang kini di dalam siasatan polis berhubung penyalahgunaan peruntukan pinjaman sebanyak RM250 juta untuk projek Pusat Fidlot Nasional (PFN), telah membuka mata rakyat Malaysia betapa pentingnya kita mengambil berat dalam hal-hal kenegaraan.

Tidak kira dibangkitkan oleh pihak Barisan Nasional mahupun pihak pembangkang. Untuk yang demikian, adalah perlu kita mengetahui selok-belok bagaimana projek ini dilaksanakan sehinggakan Laporan Ketua Audit 2010 telah mendapati beberapa kelemahan dan kecacatan yang terdapat dalam projek berkenaan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengubal Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara sebagai garis panduan dalam meningkatkan pengeluaran daging negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, kerajaan telah meluluskan sejumlah RM73.64 juta untuk melaksanakan projek Pusat Fidlot Negara (PFN) yang melibatkan kos pembangunan dan pengoperasian.

Bagi pembangunan PFN, kerajaan telah menandatangani satu kontrak bernilai RM19.86 juta dengan syarikat APT Equity Sdn Bhd untuk kerja mereka bentuk, membina, membersihkan kawasan, menanam rumput dan membangunkan infrastruktur pengairan untuk 5,000 ekar tanah.

Kerajaan Negeri Sembilan melalui Menteri Besar Negeri Sembilan Pemerbadanan (MBNS Inc.) pada awalnya telah bersetuju untuk membangunkan kawasan seluas 5,000 ekar tanah untuk tujuan tersebut.

Namun pada tahun 2007, MBNS Inc. telah memutuskan untuk mengambil balik 3,000 ekar tanah setelah kerja-kerja pembersihan dijalankan dan ini menyebabkan Kementerian terpaksa menandatangani satu lagi kontrak bernilai RM11.48 juta untuk kerja pembinaan pagar berangkai dan jalan ladang bagi baki 2,000 ekar tanah.

Bukan itu juga, pihak MBNS Inc. juga cuba menuntut balik bayaran yuran perunding berjumlah RM0.93 juta bagi tugas menjalankan kajian Pelan Induk Pembangunan Beef Valley di Gemas, Negeri Sembilan, tempat projek fidlot nasional ini dijalankan.

Kerajaan telah membelanjakan duit rakyat berjumlah RM2.84 juta untuk kerja pembersihan kawasan seluas 3,000 ekar tanah yang kemudiannya dipulangkan kepada MBNS Inc. inikan pula MBNS Inc. cuba menuntut balik RM0.93 juta lagi?

Selain itu, NFCorp yang telah ditawarkan untuk program ini pada 27.10.2006, namun perjanjian hanya ditandatangani pada 8.3.2008 sedangkan peruntukan telah mula diberikan pada tahun 2007?

Bukan itu sahaja, Kementerian Kewangan juga telah menandatangani pinjaman ‘soft loan’ kepada NFCorp pada 6.12.2007, juga telah menjadi isu hangat pada masa kini berhubung penyelewengan duit pinjaman dengan ahli keluarga terdekat seorang Menteri Persekutuan di dalam projek ini.

Berdasarkan perjanjian pelaksanaan, NFCorp mempunyai obligasi untuk dipenuhi bagi mencapai sasaran pengeluaran yang telah ditetapkan. Namun beberapa perkara masih belum dilaksanakan setakat audit dijalankan.

Antaranya adalah seperti kilang makanan ternakan masih belum dibina, kilang bio gas yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan sisa pepejal dari abattoir dan fidlot untuk dijadikan bio gas bagi menjana kuasa elektrik di tapak NFCorp masih belum dibina.

Bukan itu sahaja, jalan masuk berlopak dan pagar berangkai telah tumbang, tidak diselenggara dengan memuaskan.

Pihak NFCorp juga gagal dalam mencapai sasaran pengeluaran 8,000 ekor lembu pada tahun 2010 dan melalui maklum balas daripada kementerian, didapati hanya 5,742 ekor lembu yang telah disembelih setakat akhir November 2010.

Pengauditan pada Mac 2011 juga mendapati Pusat Fidlot Negara (PFN) masih belum tercapai objektifnya disebabkan Entrepreneur Development Programme (EDP) bagi melahirkan 130 pengusaha ladang satelit, belum dilaksanakan!

Untuk yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pembayar cukai dalam mengetahui cara aliran wang kita di dalam pengurusan sesuatu projek lebih-lebih lagi yang melibatkan kos projek yang tinggi supaya apa yang dibelanjakan akan ’value for money’ dalam mengembalikan semula duit rakyat kepada rakyat itu sendiri.

Marilah bersama-sama kita bangkit dalam mendapat hak kita sebagai ‘pembayar cukai’ dalam menegakkan keadilan dan memperbetulkan keadaan yang telah membelenggu dan menjadi igauan ngeri kepada rakyat Malaysia sekian lama dalam pengurusan kewangan negara.

13 comments:

  1. Kita sebagai rakyat M'sia haruslah mengambil tahu isu2 yang terjadi dalam negara.

    ReplyDelete
  2. isu NFC menjadi perhatian byk pihak. isu ini turut menjadi sasaran utama pembangkang. entah bagaimana isu ini akan selesai.

    ReplyDelete
  3. Selagi isu ini tidak selesai selagi itu la menjadi tatapan rakyat.

    ReplyDelete
  4. bukankah perkara ini masih dalam proses siasatan SPRM?

    ReplyDelete
  5. pembangkang memang suka hatilah ni sebab isu ni boleh bagi poin untuk menjatuhkan kerajaan.

    ReplyDelete
  6. Baik kita tunggulah hasil penyiasatan polis mengenai isu ini.

    ReplyDelete
  7. Harap keadilan akan ditegakkan dan isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

    ReplyDelete
  8. bukankah persoalan2 yang ditimbulkan telah dijawab satu persatu oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani??

    ReplyDelete
  9. kalaupun mahu timbulkan semula isu ini, cuba pertikaikan setiap butir penjelasan yang telah dibuat.. bukannya sekadar mengulangi tuduhan2 yang sama..

    ReplyDelete
  10. Tidak habis2 lagikah isu ini??

    ReplyDelete
  11. apa pun penjelasan yang diberikan pasti ada pihak yang tidak berpuas hati.

    ReplyDelete
  12. apa pun,sebarang isu yang berlaku haruslah diselesaikan agar tidak terus dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

    ReplyDelete
  13. Isu ini masih dalam siasatan maka kita perlu tunggu keputusan dari siatan yang dilakukan. Jangan hanya mengunakan isu ini sebagai isu politik semata-mata.

    ReplyDelete