Wednesday 21 December 2011

BERKONGSI KEGEMBIRAAN, MAHKOTA PERPADUAN



PRIHATIN....Azizah bertanya sesuatu kepada kanak-kanak OKU di PDK Beaufort.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

PERKONGSIAN kegembiraan di kalangan rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum di negara ini terus subur terutamanya apabila menjelang sambutan perayaan sama ada yang melibatkan perayaan suku kaum atau perayaan keagamaan.

Kebijaksanaan pemimpin negara menyemai semangat kebersamaan itu adalah keberuntungan yang sangat mahal nilainya dan sejak berdekad-dekad ianya menjadi rahmat kehidupan buat rakyat negara ini sekali gus mengkagumkan dunia luar terhadap kekuatan perpaduan di negara ini.

Pemimpin di semua peringkat menyedari betapa mahkota perpaduan yang menjadi tunjang menjana pembangunan negara ini perlu dipertahankan daripada dicerobohi oleh anasir dan dakyah pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, menjelang perayaan hari Krismas pada 25 Disember ini, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun turun padang menemui rakyat di Dun Klias yang diwakilinya.

Kehadirannya seawal jam 9.00 pagi mengukir keceriaan di wajah-wajah penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Beaufort.

Beberapa jam bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) di PDK itu, Azizah yang bersama rombongan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah sempat melihat sendiri aktiviti penghuni PDK itu.

Beliau yang juga Presiden MPMS membawa buah tangan berupa duit Krismas dan alat tulis kepada 91 insan istimewa sebagai tanda keprihatinan beliau yang dapat menyelami naluri rakyat dibawah pimpinannya secara keseluruhan.

Hadir sama, Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Klias, Saidin Museh; Setiausaha Eksekutif MPMS Joeanne Lee; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Beaufort, Rokiah Salleh dan pemimpin masyarakat setempat.

GEMBIRA...Seorang OKU kelihatan gembira menerima duit Krismas dari Azizah.

DUIT KRISMAS...Azizah menyampaikan duit Krismas kepada seorang warga emas

Azizah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahgaian Beaufort itu bergegas ke Dewan baru Beaufort bagi menyempurnakan penyampaian duit Krismas dan bantuan beras kepada 162 penerima membabitkan 39 ibu tunggal, 101 warga emas dan 22 penerima lagi terdiri daripada oku dan pesakit terlantar.

Selaian itu Azizah turut menyampaikan bantuan mesin rumput dan pam air untuk kegunaan Kg Batu 65 dan Kg Batu 58. Persatuan Hai Nam Beaufort turut menerima bantuan yang sama.

Berucap pada majlis yang dianjurkan Pejabat Pusat Khidmat Adun Klias dan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat itu, Azizah berkata kemakmuran dan kekuatan perpaduan dikalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia adalah keistimewaan yang tidak dapat ditandingi oleh negara-negara lain.

Beliau berharap setiap individu yang menjadi rakyat di negara ini agar sentiasa bersyukur dan sentiasa meningkatkan semangat muafakat antara satu sama lain.

“Sebagai rakyat yang mencintai negara ini kita mestilah berasa bertanggungjawab untuk menjaga kemakmuran yang kita dapat kecapi bersama tanpa ada yang terpinggir.

“Saya juga menyeru agar penduduk memberi sokongan yang padau kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah menyumbang dalam meningkatkan perpaduan dan kemakmuran negara.”

Di akhir ucapannya, Azizah merakamkan ucapan selamat menyambut hari Krismas dan sambutan tahun baru 2012 yang bakal menjelang.

No comments:

Post a Comment