Tuesday 13 December 2011

PENYOKONG PR PATUT TOLAK BR1M



Oleh : AZMAN ARIFFIN

DALAM usaha untuk menyaingi kehebatan buku Jingga Pakatan Rakyat, Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah memperkenalkan beberapa insentif tunai yang dibayar terus kepada rakyat dalam pembentangan Bajet 2011 Oktober lepas.

Bermula dengan pembayaran wang RM 100 untuk setiap pelajar sekolah yang telah selesai dilangsungkan, kini BN menggerakkan insentif seterusnya pula, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan nilai RM 500 kepada penerima yang layak.

Penulis katakan kesemua insentif ini adalah ‘rasuah’ politik untuk rakyat memilih BN dalam pilihanraya umum akan datang yang dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Kononnya untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dari kos sara hidup yang meningkat, sedangkan siapa yang menyebabkan kos tersebut meningkat tanpa kawalan, kalau bukan kerajaan sendiri?

Pendek kata BR1M ini adalah penyelesaian sementara kepada masalah yang dicipta oleh kerajaan sendiri! Jika benar kerajaan prihatin kepada masalah rakyat berpendapatan rendah, yang patut dibuat ialah menurunkan harga barangan, bukan memberi bantuan ‘sekali bayar’ ini dan berharap semuanya akan selesai.

Di samping itu, penulis ragu-ragu, kenapa perlu menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai pengantara? Jika masalahnya mahu memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerimanya, Bank Negara dan agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun memadai.

Pada hemat penulis, tujuan menggunakan LHDN ialah bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti lebih ramai pembayar cukai yang layak tapi tidak berbuat demikian atas sebab-sebab yang tersendiri, terutama bagi mereka yang bekerja sendiri. Pendek kata kerajaan tidak ikhlas dan bantuan ini lebih bersifat serampang dua mata yang bakal menyusahkan rakyat dalam jangka masa panjang. Penulis tidak nampak alasan lain selain daripada yang dinyatakan di atas.

Sehubungan dengan itu penulis menggesa penyokong Pakatan Rakyat tidak menerima wang bantuan ini walaupun layak kerana dari segi moralnya bantuan ini hanyalah gula-gula politik bagi melonjakkan sokongan kepada BN yang sekarang di tahap merudum. Buat apa kita bersengkokol dengan program ini yang hanya menguntungkan BN?

Di samping itu, dengan menolak wang bantuan ini, penyokong Pakatan Rakyat dapat membantu menjimatkan wang rakyat yang diuruskan secara tidak berhemah oleh kerajaan BN. Jika semua dari kita bersatu padu dengan menolak bantuan ini, mesej yang dapat dihantar ialah rakyat tidak mudah dibeli dengan pemberian yang tidak seberapa ini.

No comments:

Post a Comment