Monday, 26 December 2011

PERAYAAN BERGANDA KRISMAS DI TABIN



SUASANA gembira sempena sambutan Krismas dirasai dalam hutan sebaik seekor badak sumbu Sumatera (Dicerorhinus sumatrensis harrissoni) yang sihat selamat dipindahkan ke Taman Hidupan Liar Tabin di pantai timur Sabah pada Sabtu.

Badak betina itu yang diberi nama Puntung, ditangkap dalam satu operasi bersama antara Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) dan Borneo Rhino Alliance (Bora).

"Ini adalah pemberian istimewa untuk perjuangan kami demi memastikan spesis unik ini terus hidup dan ia adalah bertepatan dengan sambutan Krismas, masa untuk mengucapkan kesyukuran," kata Pengarah SWD Dr Laurentius Ambu dalam satu kenyataan.

"Kami telah mengawasi Puntung sejak 2007, dan tiada petunjuk bahawa badak sumbu lain telah memasuki kawasannya sepanjang lima tahun lepas. Ini adalah petanda jelas bahawa terlalu kurang badak sumbu yang masih kekal dan mereka sukar berjumpa untuk reproduksi," kata Pengarah Eksekutif Bora, Dr Junaidi Payne.

Puntung khusus disasarkan untuk menjadi pasangan badak sumbu jantan yang digelar Tam, diselamatkan di ladang kelapa sawit pada Ogos 2008 dan ditempatkan di Borneo Rhino Sanctuary (BRS).

"Kita semua tahu badak sumbu Sumatera kini semakin pupus di mana pembiakan hanya berlaku di dalam hutan sepanjang satu dekad yang lepas di Sabah dan di pulau Indonesia di Sumatera. Bagaimanapun, kadar ini masih terlalu rendah untuk memastikan ia terus kekal dan itulah sebabnya kami memulakan program pembiakan dalam kurungan," kata Payne.

Komponen utama Pelan Tindakan Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan badak sumbu Sumatera ini terus wujud di Sabah adalah pembiakan dalam kurungan yang dijalankan di kawasan hutan semula jadi seluas 20 hektar, dikenali sebagai BRS tidak jauh dari TWR dan dikendalikan oleh kerajaan negeri.

Program BRS juga turut berhubung dengan program yang sama yang diusahakan di Sumatera, Indonesia.

Laurentius berkata ia adalah usaha terakhir untuk menyelamatkan spesis itu, salah satu daripada haiwan purba mamalia.

Pengarah itu memuji usaha yang dilakukan oleh Yayasan Sime Darby dan Tabung Hidupan Liar Sedunia yang menyalurkan dana dan Institute for Zoo and Wildlife Research (Berlin) untuk bantuan teknikal mereka mengenai reproduksi badak. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment