Monday 12 December 2011

SAGA JAYAKAN ‘WORLD AIDS DAY 2011’



SAKSIKAN…..Fahrin bersama VK Liew sedang menyaksikan persembahan nyanyian.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : HERRY CHUNG

SEMPENA sambutan Hari AIDS Sedunia 2011 daerah Sandakan amat bertuah kerana terpilih sebagai tuan rumah untuk majlis sambutan program tersebut bagi peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Program yang diadakan di Dewan SM Yu Yuan Sandakan telah dihadiri lebih 1000 masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Untuk menyedarkan masyarakat tentang bahayanya wabak HIV dan AIDS kerajaan dan pihak NGO juga telah banyak membelanjakan wang ringgit semata-mata untuk membantu masyarakat supaya terhindar daripada masalah ini.

Tema sambutan Hari AIDS Sedunia pada tahun ini ialah ‘Getting To Zero’ yang mencapai tiga misi sifar itu ‘Sifar Jangkitan Baru’, ‘Sifar Diskriminasi’ dan ‘Sifar Kematian Berkaitan Dengan AIDS’.

Sandakan AIDS Support Group Association (SAGA) adalah satu-satunya badan NGO yang berperanan untuk sokong bantu kepada golongan yang hidup dengan HIV dan sebagai pengisian majlis sambutan ‘World AIDS Day 2011’.

Selama ini SAGA menganjurkan pelbagai jenis aktiviti yang berkaitan dengan HIV-AIDS yang menjurus kepada penerangan kepada umum bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti virus HIV-AIDS yang antara puncanya akibat kegiatan berkongsi jarum semasa pengambilan dadah dan melakukan seks bebas (rambang) dengan kekasih masing-masing.

Sebagai aktiviti sampingan sempena Hari AIDS Sedunia 2011, SAGA telah menganjurkan satu program yang bertemakan ‘SAGA Bersama Komuniti’ yang diadakan di Pasar Tamu Pusat Bandar Sandakan yang dihadiri lebih 700 orang.

Untuk menarik perhatian umum, SAGA telah mengundang pelakon Drama TV iaitu Fahrin Ahmad untuk memberikan sedikit tips (ucapan) mengenai bahayanya wabak HIV-AIDS kepada golongan muda, khususnya kepada remaja dan belia supaya menjauhi pengambilan dadah dan juga menghindari melakukan seks bebas.

WAWANCARA......Fahrin sedang ditemubual Sabahkini.Net.

KENANGAN....Fahrin, VK Liew, Dr Zaitun bergambar dengan ahli SAGA sejurus selepas melawat orang utan di Sepilok.

Dalam temubual eksklusif dengan Sabahkini.Net, Fahrin berterima kasih kepada pihak SAGA kerana sudi menjemputnya untuk sama-sama menyemarakkan majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia di Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Sandakan.

“Saya menyeru kepada para remaja dan belia yang merupakan harapan bangsa dan sebagai pemimpin pelapis pucuk pimpinan negara di masa akan datang, agar jangan sekali-kali terfikir untuk mencuba mengambil dadah kerana ini akan membawa padah kepada diri sendiri dan secara tidak langsung membunuh masa depan.

“Terutama sekali kepada ibu bapa jangan terlalu membebaskan sangat anak-anak mereka dan pastikan hala tuju mereka; kerana jika silap langkah dengan godaan dan pengaruh kawan-kawan di persekitaran mereka, maka dengan mudah terjerumus dalam kancah maksiat dan juga terlibat dengan pengambilan dadah,” ujar Fahrin.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Kiong telah merasmikan program tersebut.

Dalam ucapan ringkasnya antara lain memuji pihak SAGA kerana begitu aktif menganjurkan pelbagai program dan tidak rasa jemu dan tidak mengenal erti penat mereka terus maju kedepan untuk membantu golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS.

“Usaha murni sebegini yang dijalankan oleh SAGA agar dijadikan contoh dan teladan kepada badan-badan NGO lainnya, agar mengikut jejak SAGA,” katanya.

Sementara itu, Presiden SAGA Dr Zaitun Yahya, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ahli-ahli SAGA yang bekerja keras bertungkus lumus membantu bagi menjayakan program ini.

“Sokongan masyarakat kepada peranan SAGA juga amat dihargai kerana tanpa sokongan masyarakat dan pihak kerajaan sudah tentu apa yang dirancang oleh SAGA tidak akan membawa sebarang kejayaan dalam apa juga aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan,” ujarnya.

Sejurus selepas berada di Pasar Tamu, satu rombongan ahli-ahli SAGA yang di ketuai oleh Dr Zaitun Yahya bersama Datuk VK Liew membawa ahli-ahli Majlis AIDS Malaysia yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur, termasuk Fahrin Ahmad pergi Batu 14 Jalan Labuk untuk melihat orang utan dan pelbagai jenis hidupan liar di Hutan Simpan Sepilok.

No comments:

Post a Comment