Friday 9 December 2011

SAWIT KINABALU UNTUNG RM2.56 BILION



KUMPULAN Sawit Kinabalu, yang merupakan organisasi korporat milik penuh kerajaan negeri, mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.56 bilion sejak ia ditubuhkan 15 tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata prestasi cemerlang itu membuktikan bahawa keputusan untuk memperbadankan Kumpulan Sawit merupakan satu tindakan yang tepat.

Beliau berkata tahun lepas sahaja, kumpulan itu merekodkan jumlah keuntungan sebelum cukai sebanyak RM202 juta.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada Pengurusan Kumpulan Sawit Kinabalu kerana telah membawa banyak kemajuan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini.

"Walaupun masih baru dalam sektor korporat, namun hasil kemajuan Kumpulan Sawit ini terbukti jelas melalui sumbangan besar dalam pembangunan industri kelapa sawit, khususnya di Sabah," katanya dalam ucapannya sempena majlis makan malam ulang tahun Kumpulan Sawit Kinabalu ke-15, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Musa yang juga pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu berkata melalui cukai jualan Minyak Kelapa Sawit Mentah (MSM), Sawit Kinabalu menyumbang lebih RM50 juta tahun lepas, dan untuk tahun ini, setakat bulan Oktober, lebih daripada RM51 juta telah disumbangkan.

"Saya gembira Kumpulan Sawit Kinabalu dapat menyumbang jumlah yang begitu besar yang memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sabah," katanya.

Musa bagaimanapun mengingatkan pengurusan Kumpulan Sawit Kinabalu supaya tidak mudah leka dan cepat berpuas hati terhadap pencapaian dan kejayaan setakat ini.

"Yang penting, semua warga Kumpulan Sawit Kinabalu perlu berusaha dengan lebih gigih dan penuh komited.

"Ini amat penting untuk memastikan masa depan Kumpulan Sawit lebih unggul dan kukuh, prestasi pengeluaran akan bertambah baik dan keuntungan yang berlipat ganda dapat dicapai untuk kepentingan semua pihak," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment