Saturday 3 December 2011

TYT SABAH RASMI HOTEL TIADA OC?




Oleh : JURAIDAH MOHD KASSIM

MENAKJUBKAN! Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi dan rakan kongsinya telah berjaya memperdaya Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk merasmikan Hotel Silam Dynasty yang tidak mempunyai Permit Menduduki (OC); dalam masa yang sama merasuah Pengerusi Majlis Daerah Lahad Datu sebagai ‘perisai’ untuk melindungi tindakan penguatkuasaan; dengan memberi penginapan percuma sejak awal tahun lalu.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Penerangan Sabah, Citra Masadi ketika menyerahkan isi kandungan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Kunak sebentar tadi di Kunak; turut mengesahkan beliau baru mendapat maklumat serta gambar daripada warga Lahad Datu sebagai respon daripada kenyataan beliau di Sabahkini.net bertajuk ‘Selamatkah Menginap di Hotel Silam Dynasty?’.

“Saya ingin bertanya kepada Ahli Parlimen Silam, kenapa sanggup memperdaya TYT untuk kepentingan diri dengan harapan untuk mendapatkan pingat P.G.D.K (Datuk) tetapi dalam masa yang sama menyebabkan penginap hotel dalam bahaya,” kata Citra yang kesal kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat belum meluluskan pelan ubahsuai hotel berkenaan terutama lokasi penempatan gas memasak di luar kawasan yang terdedah dan laluan kecemasan yang tidak mematuhi peraturan.

Kata Citra, dengan sebatang macis atau rokok sahaja bangunan berkenaan boleh meletup disebabkan kecuaian hotel berkenaan.

Jika bangunan terbakar atau meletup, kata Citra, tidak ada insuran yang sanggup membayar pampasan kepada penginapnya kerana bangunan berkenaan tidak mempunyai OC dan tidak selamat didiami.

Tindakan pemilik bangunan dan Ahli Parlimen Silam menggadai nyawa penghuni dan menipu TYT, kata Citra adalah perbuatan cela semata-mata untuk mendapatkan keuntungan dan menyalahguna kuasa. Mujur TYT tidak memperkenan pingat berkenaan kerana masalah teknikal.

“Jika tidak, sudah pasti ada Ahli Parlimen yang berisiterikan PATI mendapat pingat P.G.D.K kerana menipu TYT,” kata Citra dengan nada sinis.

Responden yang mengirimkan gambar perasmian hotel berkenaan kata Citra turut kesal kerana rasuah yang berakar umbi di Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) kini semakin melarat, apatah lagi upacara perasmian Hotel Silam Dynasty dihadiri semua Ketua Jabatan termasuk Bomba, MDLD, Polis ; serta disiarkan dalam semua media tempatan.

“Jika semua pegawai kerajaan boleh tutup mata, maka berapa banyak lagi hotel di Lahad Datu yang menjadi perangkap maut kerana diubahsuai tanpa kelulusan?,” tanya Citra yang mendesak agar Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor menubuhkan Unit Khas memantau semua hotel dan bangunan awam di Lahad Datu agar selamat dan mematuhi Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan.

Dalam pada itu, Citra sekali lagi mendesak SPRM menjalankan siasatan segera berhubung pendedahannya sebelum ini. Dalam Laporan Polis yang dibuat di Balau Polis Kunak, LD/RPT/9798/2011 Citra mendakwa bahawa;

“Pada lebih kurang jam 7.45 malam 02 Disember 2011, saya datang ke Balai Polis IPD Kunak berhubung artikel MP Silam Vs MP Machinery & Selamatkah Menginap Di Silam Dynasty? yang disiarkan oleh Portal Sabahkini.net serta mendesak pihak SPRM agar segera menyiasat indvidu-idividu yang terlibat seperti yang tersebut dalam artikel itu dan mengheret serta didakwa di mahkamah kerana jelas telah menyalahguna kuasa. Di sini juga saya menggesa agar Pegawai Kanan Majlis Daerah Lahad Datu turut disiasat dan sekiranya hotel tersebut tidak selamat untuk diduduki, maka pihak berkuasa yang berkenaan segera menutup segala operasi di hotel tersebut atas kepentingan awam serta mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Sekian laporan saya.”

No comments:

Post a Comment