Friday 30 September 2011

SEMPORNA SYURGA PENGGUBAHAN WANG HARAM



Oleh : MUTALIB M.D

INSIDEN penculikan dua rakyat Malaysia di Terumbu Karang Sebangkat, Semporna pada 8 Februari 2010, Lai Wing Chau dan Tsen Vui Chung oleh lima orang penculik yang diketuai oleh pemegang kad pengenalan projek Malaysia, Ben @ Ahmad Taradji merupakan jenayah terancang yang kemungkinan kebarangkalian dibuat untuk memperkenalkan DMF Limited yang berpangkalan di Hong Kong dalam bidang pelaburan rumpai laut.

Daripada risikan Sabahkini.net di Hong Kong, salah seorang pemilik DMF Limited, Datuk Seri Chung Man Tong dikhuatiri terlibat merancang penculikan berkenaan bagi menaikkan saham DMF Limited yang bukan sahaja menjalankan kegiatan penanaman rumpai laut, sebaliknya melakukan kegiatan Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan.

Desas-desus dan teori kemungkinan kebarangkalian bahawa kes penculikan ini merupakan satu kes yang telah dirancang untuk kepentingan sesetengah pihak, terutama bersangkut-paut dengan dua anak syarikat DMF Limited iaitu Dynasty Worldwide Sdn. Bhd dan Dynasty Marine Farm Sdn. Bhd kini hampir pasti sebagai kenyataan yang sukar ditolak.

Lebih mengejutkan kedua-dua syarikat tersebut disenaraikan Bursa Saham NIKKEI, Hong Kong dan Bursa Saham Kuala Lumpur, Malaysia; namun berselindung di sebalik kegiatan penggubahan wang haram yang gagal disiasat Bank Negara Malaysia walaupun beberapa laporan rasmi telah dibuat.

Modus Operandi DMF Limited amat mudah iaitu membawa bakal pelabur ke Semporna untuk meninjau kegiatan penanaman rumpai laut, walaupun bukan milik mereka; hanya sekadar menunjuk kawasan penanaman yang luas dan bakal pelabur boleh membuat pelaburan secara on-line atau terus ke syarikat mereka yang beralamat di 1010, 10/F, Miramar Tower,132 Nathan Road, Tsim Sha Tsui, Kowloon, Hong Kong.

Deposit yang mereka terima setiap hari akan digunakan untuk membayar pelaburan pelabur terdahulu dan begitulah seterusnya sehingga menarik minat ramai pelabur di Hong Kong, Taiwan dan China; untuk melabur dalam syarikat mereka yang membuat keuntungan atas angin di atas keperitan hidup para pengusaha rumpailaut tempatan yang dijadikan ‘Projek Angkat’ untuk mengaburi mata pelabur tanpa sebarang bayaran.

Setiap pelabur dikehendaki membayar sejumlah USD 3,600 sebagai yuran penyertaan dalam projek pelaburan tersebut sebelum membeli jumlah saham tertentu yang dikhabarkan menawarkan keuntungan berganda.

Setelah insiden penculikan, bagi meyakinkan pelabur, DMF telah melantik Mantan Pegawai Kanan Polis Sabah sebagai Ketua Pegawai Keselamatan sedangkan hakikatnya ‘Tiada Penculikan’ berlaku; melainkan sebuah drama Hong Kong yang tidak difilemkan, tetapi dilakonkan oleh dua watak penting dalam DMF untuk melariskan saham; dalam masa yang sama memperbodohkan PDRM dan Kerajaan Malaysia.

Sebaliknya, Kerajaan Malaysia hanya berputih mata kerana semua wang pelaburan disimpan di akaun bernombor 817-398829-838 di The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited, Tsim Sha Tsui Branch, 82-84 Nathan Road, Tsim Sha Tsui, Kowloon, Hong Kong.

Dalam kejadian penculikan tersebut, para penculik menuntut wang pampasan sejumlah 30 Juta Pesos atau RM2.44 juta untuk membebaskan tebusan dengan kadar tukaran semasa 12.3 pesos bagi setiap ringgit.

Bagaimanapun keluarga mangsa hanya dapat menyediakan wang sebanyak RM 1 juta (12.3 juta pesos) dan diserahkan kepada Juruperunding yang dilantik Kerajaan Malaysia untuk proses pembebasan, namun penculik bertegas dengan jumlah wang pampasan RM2.44 juta.

Mungkin persoalan yang menarik untuk dikaji kenapa Polis Di Raja Malaysia dan mangsa menafikan ada membayar wang tebusan sejumlah RM2.44 juta atau 30 Juta Pesos; seolah-olah mereka hanya makan angin (melancong) di Tawi-Tawi selama 312 hari?

JAS SUDAH SIASAT KES KUARI PASIR HARAM LIMBAHAU



Saudara Pengarang,

ADUAN kegiatan mengorek pasir di Sungai Limbahau, Kampung Kompimpinan, Papar telah diterima oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah pada 12 Julai 2011. Siasatan segera telah dijalankan pada 14 Julai 2011 dan mendapati bahawa aduan adalah berasas.

Dari segi keperluan alam sekitar, aktiviti ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS). Maka, JAS telah memanjangkan aduan ini melalui surat bertarikh 14 Julai 2011 kepada JPAS dan Majlis Daerah Papar (PBT) untuk tindakan susulan.

Pihak pengadu juga telah dimaklumkan hasil siasatan pada tarikh siasatan dijalankan dan beliau dinasihatkan untuk merujuk kepada JPAS dan Majlis Daerah Papar untuk sama-sama mencari penyelesaian ke atas masalah yang dihadapi.

JAS Sabah selaku salah sebuah agensi teknikal senantiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam menangani pencemaran dan aduan alam sekitar di Negeri Sabah. Orang awam boleh mengemukakan aduan dan cadangan kepada email aduan_k@doe.gov.my atau Hotline: 1-800-88-2727.

Salam Hormat

YARAS YUSOP

b/p Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah

30 September 2011

MCA SABAH JANGAN JADI PENYIBUK!



Oleh: MEDIA PAS SABAH

PAS Negeri Sabah membidas Pengerusi MCA Sabah, Datuk Edward Khoo, yang terlalu celupar dan menjadi penyibuk dengan mencampuri hal ehwal umat Islam melalui kenyataan beliau yang tersiar dalam akhbar tempatan pada 29 September 2011; berhubung penentangan MCA Sabah ke atas perlaksanaan undang-undang hudud yang telah ditegaskan hanya melibatkan umat Islam di negeri Kelantan sahaja.

PAS Negeri Sabah juga mengambil maklum satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi MCA Sabah, Chew Kok Wah, pada 21 September, yang bukan sahaja menghentam peribadi pemimpin tertinggi PAS Pusat, tetapi terbabas sehingga ke peringkat melemparkan tuduhan-tuduhan liar yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti mereka.

Dalam memberikan reaksinya di atas keceluparan kedua-dua pemimpin MCA Sabah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah, menegaskan bahawa, dalam pada umat Islam memperakui kewujudan masyarakat majmuk berbilang agama dan kepercayaan dalam sebuah negara seperti Malaysia, memperakui juga hak setiap penganut pelbagai agama untuk bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 3, maka kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA Sabah yang menentang kebebasan umat Islam untuk mengamalkan ajaran-ajaran Islam adalah bersifat menyanggah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 3.

Hj Hamzah selanjutnya berkata bahawa undang-undang hudud adalah khusus untuk umat Islam dan oleh sebab itu MCA tiada hak untuk mencampuri urusan umat Islam negara ini!

Undang-undang hudud ciptaan Allah adalah bermatlamat sebagai ‘kawalan’ dan ‘pencegahan’ yakni berfungsi mencegah orang ramai dari melakukan jenayah dan perlakuan-perlakuan yang diharam dan dicegah oleh Islam.

Ini bererti hanya mereka yang mempunyai perangai suka merompak, mencuri, merogol dan membunuh sahaja yang takut kepada undang-undang hudud. Rakyat yang cintakan kepada keamanan dan kerukunan hidup tanpa jenayah tidak akan bimbang terhadap perlaksanaan hukum hudud.

PAS Sabah menasihatkan MCA supaya menerima realiti bahawa semakin ramai rakyat Malaysia keturunan Cina yang telah memahami prinsip keadilan undang-undang hudud. Ini disebabkan mereka sering mendengar ceramah dan penjelasan daripada pemimpin-pemimpin PAS dan mereka berkawan dengan ahli-ahli PAS.

Oleh sebab itu, keahlian Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai oleh masyarakat non-Muslim semakin meningkat dari sehari ke sehari. Masalah dengan MCA Sabah ini ialah mereka berkawan dengan UMNO, yang tiada minat untuk menjelaskan matlamat perlaksanaan hudud.

Malah, kalau dilihat dari kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin UMNO dalam media arus perdana, UMNO turut menjuarai penentangan perlaksanaan undang-undang hudud. Pelbagai alasan direka-cipta oleh UMNO untuk menentang perlaksanaan hudud di Kelantan.

PAS Sabah menyeru semua pihak supaya memberi peluang undang-undang hudud terlaksana di Kelantan. Biar rakyat yang menilainya sama ada benar atau tidak bahawa undang-undang ciptaan Allah ini mampu mengurangkan jenayah yang peratusannya semakin meningkat saban tahun.

PRUDENTIAL ASSURANCE SEMAKIN KUKUH



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Kiong berkata pelanggan Prudential Assurance Malaysia Bhd di Sandakan kini boleh menikmati kemudahan serta perkhidmatan pelanggan yang lebih baik berikutan pemindahan syarikat insurans itu ke pejabat lebih besar lagi canggih yang terletak di Dataran Prima KM 7.9, Jalan Utara, Sandakan.

“Pemindahan tersebut merupakan pemindahan kali keempat syarikat berkenaan sejak bertapak di Sandakan pada tahun 1991 dengan tujuan bagi menampung tenaga agensi dan pelanggannya yang semakin meningkat dari masa ke semasa,” katanya ketika berucap merasmikan pemindahan pejabat syarikat tersebut di Bandar Prima, petang kelmarin.

Bilangan agen, pelanggan serta perniagaan yang semakin meningkat maju di Sabah kata V.K.Liew, merupakan punca utama di sebalik keputusan untuk memindahkan cawangan Sandakan ke pejabat yang mempunyai ruang lebih besar, selain menyediakan persekitaran kerja yang lebih selesa untuk kakitangan syarikat tersebut.

“Saya dimaklumkan setakat 31 Ogos 2011, cawangan ini telah menyumbangkan APE perniagaan baru berjumlah RM2.5 juta yang menunjukkan pertumbuhan 23% peratus sejak tahun 2010. Saya percaya jumlah sedemikian akan terus meningkat dengan pemindahan cawangan ini ke pejabat barunya,” ujar V.K.Liew lagi.

V.K.Liew juga menjelaskan bahawa beliau dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prudential Assurance Malaysia Bhd, Charlie Oropeza, bahawa pejabat baru ini merangkumi dua bangunan tiga tingkat terletak bersebelahan dengan keluasan kira-kira 5,300 kaki persegi dilengkapi dengan bahagian pentadbiran cawangan dan perkhidmatan pelanggan.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan, Charlie Oropeza berkata, sejajar dengan perasmian gilang gemilang cawangan itu bersempena hari ulang tahun ke 20 Prudential bertapak di Sandakan, pihaknya menderma sejumlah RM6,000 kepada Rumah Amal Cheshire Home Saban-Sandakan dan Sekolah Menengah Yu Yuan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan yang diberikan masyarakat setempat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Wakil Rakyat Kawasan Elopura Au Kam Wah dan dif-dif kehormat lain.

JAGA KESIHATAN SEMASA DI TANAH SUCI



SEDEKAH…Kelihatan Lajim ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bakal jemaah haji di majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

SERAMAI 34 orang bakal jemaah haji dari kawasan Parlimen Beaufort yang akan mengerjakan fardu haji ke Mekah tahun ini telah diraikan oleh Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dalam satu majlis ringkas, namun penuh bermakna, di Rumah Rehat Beaufort, petang kelmarin.

Jumlah tersebut merupakan bakal jemaah haji dari dua buah kawasan iaitu dewan Undangan Negeri iaitu Klias dan Kuala Penyu kerana difahamkan terdapat beberapa orang bakal jemaah haji dari kawasan ini akan menyertai penerbangan pertama pada 03 Oktober ini.

Berucap meraikan bakal jemaah haji pada majlis tersebut, Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengingatkan bakal jemaah haji khususnya dari kawasan ini agar sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek kesihatan mereka bagi mempastikan mereka mampu mengerjakan haji dalam keadaan yang sempurna dan teratur.

Menurut Lajim, bakal jemaah haji juga perlu sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Urusan Tabung Haji Malaysia yang sentiasa memberikan bantuan kepada jemaah haji dari Malaysia.

“Tidak timbul masalah jika kita (jemaah Haji) sentiasa mengikuti peraturan yang ditetapkan dan sentiasa merujuk kepada LUTH semasa berada di sana,” jelas Lajim.

Tambah Lajim lagi, kemudahan yang disediakan oleh LUTH kepada jemaah haji dari Malaysia merupakan antara yang terbaik; justeru itu bakal jemaah haji tidak perlu risau semasa mereka mengerjakan fardu haji.

Dalam pada itu, beliau juga turut menasihati agar bakal jemaah haji sentiasa menjaga aspek keselamatan mereka dan tidak terpengaruh dengan eleman-eleman yang boleh melalaikan ibadah haji mereka ini, termasuk menghampiri kawasan-kawasan yang sesak dengan jemaah haji bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dimajlis tersebut Lajim bersama isteri Datin Seri Panglima Hajah Normilah Siong turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa kewangan pada bakal jemaah haji dari kawasan itu di majlis yang turut dihadiri oleh Setiausaha Umno Bahagian Haji Jusih Haji Sarin dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian, Saridah Datuk Seri Panglima Mohd. Dun