MESRA…….Abdul Rahman (bersalaman) disambut mesra oleh hadirin yang hadir pada majlis itu.
Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI
AHLI Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan bekata keindahan agama Islam tidak akan dapat dirasai dan dihayati jika umat Islam itu sendiri tidak beramal dengan ajaran agama itu dengan sepenuh hati.
Menurutnya, keindahan Islam yang mencakupi segala aspek kehidupan manusia seperti akidah, ibadah, muamalat, akhlak, perundangan, ilmu dan pelbagai lagi mampu menjadikan seseorang umat Islam yang bermaruah dan berjaya dalam hidup.
“Sekiranya kita menunaikan cara hidup Islam sepenuhnya, insya-Allah umat Islam akan menjadi umat yang berjaya dan bermaruah seterusnya akan disegani oleh pengamal agama lain di dalam dunia.”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis perarakan dan perhimpunan Maulidur Rasul peringkat daerah Kota Belud yang telah diadakan di padang pekan Kota Belud dan Dewan Tun Said, baru-baru ini.
Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional berkata tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu ‘1Malaysia 1Ummah‘ amat bertepatan dengan makna kerahmatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad Saw.
Menurutnya lagi, 1Malaysia yang mengambarkan keharmonian dan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam sebuah negara majmuk adalah rahmat yang paling berharga buat seluruh rakyat Malaysia.
Katanya lagi, umat Islam perlu menerima hakikat bahawa kemajmukkan kaum dan agama dalam negara seperti Malaysia sebagai satu rahmat kurniaan Allah Swt yang tidak ternilai.
“Sambutan Maulidul Rasul mengingatkan umat Islam betapa Rasullah Saw juga berjaya membina Madinah sebagai sebuah kota yang bertamadun yang aman dan damai dengan didiami oleh masyarakat pelbagai keturunan dan agama, walaupun berlainan keturunan dan agama mereka diikat dengan tali persaudaraan sebagai warga kota Madinah.” terangnya lagi.
Jelas Abdul Rahman lagi, 1Ummah melambangkan kesatuan akidah bersama umat Islam dan sesungguhnya menerima cahaya keimanan adalah rahmat yang paling istemewa buat seorang mukmin.
Menurutnya lagi, menerima cahaya keimanan, para mukminin bukan sahaja beroleh hidayah daripada Allah Swt tetapi dengan sendirinya menjalin hubungan silaturahim sesama umat Islam.
Katanya, agama Islam adalah agama yang dibawah oleh junjungan besar Nabi Muhammad merupakan yang agama murni dan harmoni.
“Keperibadian Rasullah Saw yang memiliki akhlak yang mulia, bersifat sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk, ciri-ciri Rasullah Saw ini telah memberi keamanan dan rahmat kepada seluruh alam.” tambahnya lagi.
Abdul Rahman turut mengajak umat Islam di daerah ini menyambut saranan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ketika berucap merasmi majlis Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan supaya menghayati dan mengamalkan konsep kesederhanaan yang akan melahirkan satu ummah yang progresif.
Menurut Abdul Rahman lagi, konsep kesederhanaan adalah baik dan sangat digalakkan oleh Islam kerana perbuatan yang lebih daripada yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau.
Katanya, perbuatan yang kurang sepatutnya adalah dianggap satu kecuaian maka umat Islam tidak boleh rigid atau ekstrim begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan.
“Sememangnya konsep kesederhanaan menekankan amalan ajaran Islam secara sederhana, berimbang dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah samada dari segi ilmu, pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan , pertahanan, perpaduan dan sebagainya.”
“Bersesuaian dengan slogan ‘Pencapaian diutamakan‘ maka konsep-konsep ini akan merealisasikan ajaran Islam yang lebih komprehensif serta berimbang antara pelbagai kedudukan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh iaitu sebuah negara yang maju, yang disegani serta bertoleransi dan berimbang dari segenap bidang,” tambah Abdul Rahman lagi.
No comments:
Post a Comment