Friday 18 March 2011

ANUGERAH PR KEPADA PATI, STRATEGI MAKAN DIRI?



Saudara Pengarang,

SAYA terpanggil untuk mengulas cadangan Presiden PKR, Dr Wan Azizah berhubung pemberian status Penduduk Tetap atau ‘PR’ kepada PATI sebagai langkah penyelesaian masalah PATI di Sabah seperti yang terkandung dalam ‘Buku Jingga’ jika PKR memerintah di Sabah selepas PRU13.

Mungkin juga cadangan Presiden PKR itu sebagai olok-olok yang bertujuan sekadar untuk memancing sokongan dan undi daripada PATI yang sudah mempunyai Kad Pengenalan dan juga terdaftar sebagai pengundi merupakan suatu strategi yang salah dan membahayakan keselamatan negeri Sabah.

Dr Wan Azizah seharusnya memikirkan semasak-masak cadangannya itu yang sepatutnya lebih menumpukan soal penyelesaian 600,000 PATI di Sabah yang tidak disukai rakyat jati Sabah kerana PATI merupakan ‘Ibu Segala Masalah Sosial Dan Jenayah Di sabah’.

Sedangkan rakyat Sabah ketika ini riuh rendah mendesak kerajaan pusat khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta mereka (kerajaan) menghantar PATI balik segera ke Negara asal mereka.

Anehnya, dalam keadaan tertekan dan bimbang akan keselamatan Sabah mengapa pula PKR beria-ia memberikan PR jika PKR memerintah Sabah. Lebih baik PKR juga ditendang keluar dari Sabah dan kembali ke Semenanjung kerana perjuangannya tidak relevan dengan aspirasi rakyat Sabah.

PKR dan Dr Wan Azizah harus mengkaji latar belakang kedatangan PATI di Sabah kerana mereka ini bukan lagi berstatus ‘Pelarian Sekitar Tahun 1970-an’ yang jumlahnya lebih kecil daripada jumlahnya sekarang seperti yang dipersetujui UNCHR (PBB) kerana masalah peperangan saudara di Selatan Filipina.

Malangnya, jumlah mereka yang semakin bertambah sehingga mencecah 600,000 itu bukan lagi pelarian tetapi mereka adalah ‘penceroboh’ sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia. Menceroboh masuk ke sesebuah Negara yang berdaulat adalah perbuatan jenayah antarabangsa dan hukumannya adalah berat.

Kalau hari ini PKR ditakdirkan memerintah Sabah dan esok PKR implementasikan janjinya memberikan PR kepada PATI..’You mark my words’, esok lusa bukan setakat 600,000 yang hadir mendaftar PR, tetapi 90 peratus daripada 7 juta populasi Selatan Filipina datang berduyun-duyun mendaftar sebagai PR di Sabah.

Bagaimana canggihnya ‘Task Force’ yang akan digunakan kerajaan PKR ketika itu untuk menangani masalah pemberian PR walaupun perlu di ‘screen’ dengan lebih teliti tetapi ia tetap tidak akan berhasil seratus peratus dan pasti ada cacat celanya.

Jikalau PKR dan Dr Wan Azizah meneruskan juga misi PR mereka, rakyat Sabah tidak teragak-agak tetap akan menolak mereka terutamanya di kawasan kepadatan masyarakat KDM pada PRU13 kelak.

Salam Hormat,

JAMES KOTOK

No comments:

Post a Comment