Friday 18 March 2011

KES IMAHIT MERCU TANDA HAK ASASI MANUSIA



Oleh: MAIL MATHEW

PRESIDEN UBF, Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengisytiharkan pindaan Perlembagaan Persekutuan suatu ketika dahulu yang menggugurkan kuasa Yang DiPertua Negeri (Gabenor) melantik Pesuruhjaya Kehakiman (JC) ke Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak terbatal dan tidak sah.

Katanya, keputusan tersebut suatu kemenangan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak kerana akhirnya hak asasi rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Artikel 161E(2)(b) terus dipertahankan menerusi interpretasi Mahkamah.

“Tiada sesiapa yang berhak mengubah hak asasi kita sejak dahulu (pembentukan Malaysia) sebab itu perjuangan kita untuk menuntut hak kita dalam Perlembagaan tidak pernah luntur,” kata beliau ketika dihubungi Sabahkini.net untuk mendapatkan ulasan beliau berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Tegasnya lagi, hak-hak lain yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang diasaskan ‘20 Perkara’ perlu juga dikembalikan kerana ia sudah menjadi suatu persetujuan awal rakyat Sabah dan Sarawak yang mendorong kepada pembentukan Malaysia.

“Keputusan Mahkamah Tinggi itu merupakan satu langkah awalan di mana telah menunjukkan bahawa perjuangan kita untuk menuntut hak asasi nampaknya kita (rakyat) berada di pihak yang benar. So, kalau kerajaan khususnya pemimpin negeri cuba membelakangi hak kita maka rakyat sudah tentu berhak menghakiminya,” tegas Jeffrey.

Ketika ditanya persoalan litigasi memandangkan ‘locus standi’ pihak pencabar Robert Linggi di kalangan rakyat biasa Jeffrey berkata, beliau sependapat dengan ulasan Hakim bahawa semua rakyat berhak dan bertanggung jawab melindungi Perlembagaan dan undang undang di Negara ini.

“Sesungguhnya undang-undang di negara ini hanya Parlimen yang berhak dan berkuasa menggubalnya namun dari aspek menginterpretasi pelaksanaan undang- undang yang menyimpang maka rakyat biasa berhak menegur kerajaan mengikut saluran yang betul,” tambah Jeffrey lagi.

Dalam pada itu, Robert Linggi sebagai plaintif dalam kes mencabar Kerajaan Malaysia berhubung pemansuhan kuasa Yang DiPertua Negeri Sabah dan Sarawak melantik JC di Mahkamah Tinggi di kedua-dua negeri ketika dihubungi menjelaskan;

“Saya merasa lega dengan keputusan itu yang saya anggap suatu kemenangan kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang selama ini hak asasi kedua-dua negeri telah tergugat dan bercanggah dengan Perlembagaan. Jadi, kalau kita diam diri siapa lagi ditunggu untuk mengingatkan kerajaan bahawa mereka (kerajaan) sudah bertindak menyimpang jalan,” tegas Robert yang sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu semasa dihubungi.

Robert yang juga seorang pesara bekas Pegawai Polis seterusnya berkata, beliau berterima kasih kepada sistem Kehakiman di negara ini kerana bertindak mengikut lunas-lunas keadilan yang tulen berteraskan undang-undang yang ada.

Tegasnya, maka dengan hasil keputusan itu telah dapat mempertahankan hak asasi dan kuasa otonomi di kedua-dua buah negeri wilayah Borneo Sabah dan Sarawak daripada terhakis yang membawa kepada ketidak selesaan rakyat di kedua-dua negeri itu.

Datuk Dr Jeffrey dan Robert Linggi mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Khamis mengisytiharkan pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan menggugur kuasa Yang DiPertua negeri Sabah dan Sarawak melantik Pesurujaya Kehakiman (JC) ke Mahkamah Tinggi telah terbatal dan tidak sah.

No comments:

Post a Comment