Monday, 14 March 2011

PENDUDUK GESA SPRM SIASAT TNB


MISTERI... Muslimin bingung kerana Stesen Janakuasa Solar Hibrid yang dibina di Pulau Banggi bukannya menggunakan teknologi hijau sebagaimana yang didakwa.

Oleh: MUTALIB M.D

PENDUDUK Pulau Banggi Kudat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mendalam berhubung kepincangan projek Stesen Sistem Solar Hibrid Pulau Banggi yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Jurucakap penduduk, Muslimin Arip ketika menghubungi Sabahkini.net mendedahkan projek berkenaan yang telah diserahkan kepada Sabah Electricity Sdn.Bhd (SESB) gagal disiapkan dengan sempurna dan berlaku banyak kecacatan (defect) namun tidak dibaiki dalam tempoh tanggungan kecacatan.

“Kita minta SPRM serius menyiasat kes ini dan tidak hanya duduk berpeluk tubuh di dalam bilik aircond. Datanglah ke Pulau Banggi dan lakukan siasatan. Tidak payah tunggu kami buat laporan rasmi baru sibuk mahu siasat. Kami kesal kerana sudah hampir dua tahun diguna masih belum ada perabot dan lengkapan serta retak dan runtuh sana sini,” ujar Muslimin yang telah mengemukakan isu berkenaan beberapa kali kepada SESB namun tidak diendahkan.

SELENGGARA... Seorang kakitangan SESB menyelenggara bateri tanpa menggunakan sebarang pakaian dan topeng keselamatan. Bukankah penyelenggaraan wajar dibuat kontraktor?

BATERI... Sebahagian daripada 250 bateri asid plumbum yang digunakan di Stesen Solar Hibrid Pulau Banggi yang mengancam keselamatan dan nyawa seluruh penduduk Pulau Banggi dalam jangka masa panjang.


ROSAK....Dua buah bateri asid plumbum yang rosak (atas) dan sebuah yang meletup (bawah) hanya dibiarkan begitu sahaja di stesen berkenaan. Kesemua bateri berkenaan diimport daripada Republik Checz.

Muslimin turut kesal kerana Stesen Janakuasa Solar Hibrid berkenaan menggunakan bateri asid plumbum yang diharamkan melalui Basel Convention sejak 6 Januari 1994.

“Kita kesal kerana agensi kerajaan seperti TNB dan KKLW sendiri melakukan jenayah dan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan kita hairan kenapa Jabatan Alam Sekitar turut bersubahat membenarkan logam berat yang diharamkan diseludup masuk ke Pulau Banggi,” ujar Muslimin yang membayangkan isu ini melibatkan banyak pihak terutama KKLW yang membiayai projek ini.

Oleh itu, kata Muslimin, memandangkan Malaysia adalah salah satu negara yang menandatangani Basel Convention, maka penyeludupan masuk logam berat seperti plumbum tidak wajar dilakukan oleh agensi kerajaan seperti TNB dan KKLW.

Mengikut Akta Alam Sekeliling 1974 yang dipinda pada 1996, kata Muslimin, kegiatan penyeludupan plumbum (termasuk import dan transit logam berat berbahaya) di bawah Seksyen 34B. boleh dikenakan denda sehingga RM 500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali; namun sehingga kini Jabatan Alam Sekitar masih menutup mata di atas jenayah yang dilakukan TNB dan KKLW.

“Saya telah berbincang dengan peguam untuk memfailkan saman terhadap TNB dan KKLW jika mereka gagal membawa keluar 250 buah bateri plumbum yang digunakan di Stesen Solar Hibrid Pulau Banggi dalam tempoh 14 hari daripada tarikh berita ini disiarkan Sabahkini.net,” tegas Muslimin yang bimbang kerana nyawa penduduk Pulau Banggi akan terancam oleh keracunan plumbum kerana kandungan plumbum di dalam bateri yang diimport daripada Republik Checz begitu besar.

Kata Muslimin, sebuah bateri telah meletup dan dua buah lagi telah rosak tetapi tiada sebarang kajian dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, terutama di kalangan pekerja SESB yang menyelenggara stesen janakuasa berkenaan.

AIR.... Lantai rumah pekerja ini mengeluarkan air sehingga tidak dapat memasang tikar atau permaidani.

BERSILA.... Dua pekerja SESB terpaksa bersila kerana pejabat mereka tidak mempunyai sebarang perabot?

Muslimin turut membayangkan akan menyaman Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Pelajaran kerana menggunakan bateri asid plumbum di semua sekolah di pulau tersebut dan kebanyakannya telah dibuang ke laut sehingga menyebabkan nelayan seperti sukar menangkap ikan di pinggir pantai; disyaki akibat pencemaran plumbum dan terpaksa belayar jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan yang semakin pupus.

“Ramai nelayan yang tidak sedar bahaya plumbum telah mengambil bateri yang dibuang ke laut untuk dijadikan batu pemberat pukat dan pancing kini menderita akibat keracunan asid sulfirik dan plumbum,” kata Muslimin yang merupakan Presiden Penaja Kelab Banggi Green yang masih dalam peringkat penubuhan.


7 comments:

  1. jika dah tau plumbum merbahaya dan diharamkan kenapa ia masih digunakan.

    ReplyDelete
  2. Siapakah yg menjadi dalang semua ini. SPRM harus membuat siasatan.

    ReplyDelete
  3. Have they submitted their report to the SPRM?

    ReplyDelete
  4. sedarkah TNB dan KKLW bahawa mereka telah melakukan kesalahan? kalau sedar jangan ditambah lagi kesalahan. angkut semua bateri plumbum dan bawa keluar dari negeri ini.

    ReplyDelete
  5. harap pekara ini dapat diberikan perhatian yang sewajarnya.

    ReplyDelete
  6. Benarkah apa yang didakwa dalam hal ini??Pihak berkuasa siasat kes ini.

    ReplyDelete
  7. Harap SPRM akan siasat operasi TNB.

    ReplyDelete