Friday 18 March 2011

ROSNAH TERSALAH HAYUN ISU PLUMBUM?



Saudara Pengarang,

Surat terbuka ini saya tujukan kepada Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, selaku entiti yang bertanggungjawab terhadap masalah kesihatan umum, terutama kesan daripada bahaya pencemaran plumbum; sebagaimana jawapan beliau di Dewan Rakyat pada 16 Mac 2011 seperti yang disiarkan Sabahkini.net melalui artikel bertajuk ‘Siapa Cakap Benar, Rosnah Atau Raime?’.

Sebagai mewakili kaum wanita dan pengundi berdaftar, saya berbangga dengan perlantikan Rosnah sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, apatahlagi kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah dan Ketua Puteri UMNO Malaysia.

Bak kata pepatah, ‘tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia’, namun dalam keadaan separa sedar, Rosnah tersalah hayun sehingga menyebabkan beliau turut terlambung ke tengah kemelut isu pencemaran plumbum di Sabah orang biasa seperti saya berasa malu dengan kejahilan Rosnah yang tidak ubah seperti ‘Burung Kakak Tua’ yang hanya tahu mengucapkan ‘Good Morning’ walaupun matahari sudah condong ke barat atau malam kelam.

Sewajarnya, Rosnah harus membawa badannya yang bersaiz XXXL ke Kampung Sumambu, Tenom untuk melihat sendiri betapa bahayanya kanak-kanak sekolah SK Sumambu yang terdedah kepada letupan dan kebakaran bateri asid plumbum atau ke SK Padang Banggi, Kudat untuk menyaksikan betapa ‘kasihannya’ kanak-kanak sekolah dibunuh secara senyap ketika bateri asid plumbum dicaj di dalam bilik darjah ketika mereka sedang belajar.

BAHAYA..... Kasihan kanak-kanak ini terpaksa belajar di dalam bilik darjah yang mengandungi udara beracun plumbum.

Bayangkanlah kanak-kanak itu sebagai anak atau adik Rosnah yang dijamin Perlembagaan Malaysia untuk menghirup udara segar kemerdekaan, tetapi Rosnah dengan bangganya membiarkan mereka menghidu udara beracun asid sulfurik dan plumbum; tanpa ada usaha untuk mengarahkan ujian darah dilakukan sebagai SOP biasa sejak bateri berkenaan terbakar pada 1 Oktober 2010 (disiarkan New Sabah Times).

Jika beginilah kualiti Timbalan Menteri Kesihatan, maka saya merayu kepada Perdana Menteri Malaysia agar melantik pengganti Rosnah, sebaiknya seorang Doktor Perubatan dan bukannya ‘Doktor Temberang’ yang berani berbohong di Dewan Parlimen kerana perlantikan Rosnah tidak ubah seperti melantik ‘Kambing Untuk Menjaga Sirih’.

Bukankah Rosnah patut turun padang dan membuat ‘Home Work’ sebelum memberi jawapan di Parlimen kerana masa yang diberikan Parlimen amat mencukupi sebelum soalan lisan dikemukakan secara ‘protokol’ sahaja.

Jika malas sekalipun membawa badan ‘Beruang Panda’ ke luar bandar, bacalah laporan lengkap daripada Pusat Racun Negara dan Yayasan Sabah yang dibuat pada 1996 di Tadika Pantai Barat Sabah, termasuk Tuaran, Kota Belud, Ranau, Tamparuli dan sebagainya.

Tidakkah Rosnah tahu bahawa mengikut laporan CNN dan Aljazeera, 400 Kanak-Kanak yang meninggal dunia di Nigeria Afrika dan 2,000 yang sedang nazak di China tidak menghidu plumbum secara terus sebagaimana kanak-kanak sekolah di luar bandar seperti di SK Sumambu, Tenom dan SK Padang Banggi, Kudat.

Bukankah setiap hari bateri berkenaan dicaj dan dalam masa yang sama mengeluarkan gas beracun plumbum sekalipun bertutup atau tidak, apatah lagi di dalam bilik darjah? Kenapa tidak letakkan sahaja tong gas di dalam bilik darjah dan buka penutupnya selama lima minit sebelum Rosnah datang membawa macis atau membuang puntungan rokok agar meletup dan hangus sekelip mata; daripada membiar kanak-kanak menghidu gas beracun setiap hari?

Bayangkanlah suami Rosnah merokok di hadapannya dan asap rokok yang mengandungi ‘Pullonium’ (bahan radioaktif) terdedah kepada beliau dan anak-anak kecil yang berada di sekitarnya. Tahukah Rosnah bahawa peratus individu yang terhidu atau terdedah asap rokok mengalami risiko penyakit lebih tinggi daripada penghisap rokok? Begitulah senario yang terjadi apabila sekolah menggunakan bateri plumbum berbahaya, cuma bezanya di sini ialah kadar keracunan plumbum lebih berbahaya berbanding kadar keracunan nikotin, pullonium dan karbon monoksida daripada asap rokok.

Jika Rosnah menghalalkan senario ini terus berlaku di dalam bilik darjah tersebut dengan menidakkan keterdedahan bahaya plumbum dalam kalangan pelajar sekolah, bolehkah rakyat Malaysia lain membuat Undang-Undang sendiri meletakkan bom tangan, pistol, senjata M16, acid sulfuric (cuka getah) di simpan dalam setiap rumah masing-masing? Jika halal, maka jawapan Rosnah bahawa bateri plumbum tidak bahaya adalah BENAR.

Sewajarnya Rosnah tidak lagi menjadi ‘YB Berminda Tadika’ kerana statusnya adalah Timbalan Menteri dan sewajarnya membaca ketetapan Basel Convention yang menjelaskan betapa bahayanya logam berat kepada manusia dan menonton Videoklip ‘Skandal Tergempar Sabah’ di Youtube atau SabahkiniTV secara berulang-ulang sebanyak 10 kali. Jika masih tidak faham, maka Rosnah sewajarnya melakukan ujian darah kerana ‘lupa’ dan ‘terencat akal’ adalah salah satu sindrom keracunan plumbum.

Saya mencadangkan kepada Perdana Menteri Malaysia yang kita kasihi supaya memberikan kursus terlebih dahulu kepada para Menteri atau Timbalan Menteri bagaimana cara turun padang; bagaimana membuat kajian dan memberikan jawapan berkualiti dan professional kepada setiap perbahasan di Parlimen.

Jika tidak kami sebagai rakyat Malaysia akan berasa kurang senang dan kurang yakin terhadap kredibiliti seorang wakil rakyat yang amat diharapkan dapat membela nasib dan masa depan legasi kami. Kami sayang akan Barisan Nasional dan tidak mahu parti ini hancur begitu sahaja di atas kedunguan beberapa orang Menteri yang tidak tahu bekerja untuk rakyat, sebaliknya memboroikan perut sendiri.

Terpilihnya wakil rakyat kerana jasa kami sebagai pengundi atas junjungan kedaulatan demokrasi, bukan di atas junjungan ubun-ubun wakil rakyat. Kami serahkan amanat keramat kami kepada setiap wakil rakyat.

Sebagai penduduk Sabah yang amat cintakan negeri sendiri, kami tidak mahu bateri plumbum berbahaya walaupun diberi percuma, hatta dijanjikan ditutup dengan bilik kebal. Kalau seluruh dunia kata bahaya, mana mungkin jadi baik. Kalau anjing tetap anjinglah, demikian juga kalau memang beruang panda, tetap menjadi beruang panda sekalipun dicampur dengan lembu sampai bila-bila.

Salam Hormat,

MAIMUNAH RAZAK

Puteri UMNO Sabah

No comments:

Post a Comment