KOTA KINABALU : Seorang
pengurus restoran yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen merogol gadis
bawah umur hari ini dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu kerana
memberi rasuah kepada bapa mangsa pada April lepas.
Riduan Masmud, 40, yang
menghadapi tiga pertuduhan rasuah, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua
pertuduhan itu.
Dia didakwa melakukan
kesalahan itu sebagai dorongan supaya gadis itu membuat laporan polis bagi
menarik balik aduan bahawa dirinya telah dirogol.
Bagi pertuduhan pertama, dia
didakwa menawarkan kepada bapa mangsa wang sebanyak RM5,000 di luar pondok
pengawal, Institut Sinaran, Jalan Tuaran Bypass dekat sini antara pukul 9 malam
hingga 10 malam pada 18 April lepas.
Bagi pertuduhan kedua pula
Riduan didakwa memberikan wang sebanyak RM2,000 kepada bapa gadis itu di
tempat, waktu dan hari sama.
Dia juga didakwa memberikan
wang tunai RM3,000 kepada orang yang sama di Kantin Naga Emas, Jalan Tuaran
Lama dekat sini antara pukul 11 malam hingga 12 malam pada hari yang sama.
Riduan didakwa melakukan
kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan
didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau
RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya dari
SPRM Mukhriz Mat Arus menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi
ketiga-tiga pertuduhan itu.
Bagaimanapun, peguam Loretto
S Padua yang mewakili Riduan memohon jaminan itu dikurangkan kerana anak
guamnya telah digantung kerja sejak siasatan kes rogol itu selain menanggung
dua orang isteri dan empat anak.
Hakim Caroline Bee Majanil
membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi kesemua pertuduhan
dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun untuk sebutan kes.
Riduan sebelum ini didakwa
di Mahkamah Sesyen merogol gadis yang berusia 12 tahun enam bulan dalam kereta
yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb
lepas. (Bernama)
No comments:
Post a Comment