Monday 31 January 2011

HARAMKAN BATERI LEAD ACID PLUMBUM!



Oleh: MUTALIB M.D

PENDUDUK Kampung Sumambu, 112 kilometer daripada Tenom menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengharamkan penggunaan bateri yang berasaskan Lead Acid Plumbum sebagai komponen elektrik hibrid yang dipasang di SK Sumambu pada Oktober 2010.

Ketua Kampung Sumambu, Ambalau Bin Lawi, menegaskan para ibu bapa dan kanak-kanak bimbang dengan kesihatan mereka setelah mereka mendengar berita 111 Kanak-Kanak di Nigeria meninggal dunia kerana keracunan plumbum (Lead).

“Pada mulanya kita tidak tahu plumbum bahaya. Kita terima bila ada pihak datang pasang di SK Sumambu. Tapi bila bateri meletup satu hari selepas dipasang kontraktor, kita sangat bimbang keselamatan anak-anak kita. Bateri baru sudah sampai, tapi kita minta jangan pasang dulu,” ujar Ambalau yang merayu agar Kementerian Kesihatan Malaysia melawat kampungnya untuk menjalankan ujian darah terhadap semua murid SK Sumambu kerana bimbang mengalami keracunan plumbum.

Menurut Ambalau, bateri yang dipasang di sekolah tidak sama dengan bateri lithium polymer yang dipasang di kesemua 41 buah rumah penduduk kampung yang mendapat bekalan elektrik berasaskan tenaga hijau yang mesra alam.

“Sebagai Ketua Kampung, saya amat bertanggung jawab terhadap keselamatan penduduk kampung dan sehubungan itu saya meminta agar menggantikan bateri lead acid plumbum kepada lithium polymer yang boleh dikitar semula,” ujar Ambalau yang menjelaskan selama ini sekolah berkenaan menggunakan genset sejak 2002 sebelum digantikan dengan solar hibrid pada 2010.

Bagaimanapun kata Ambalau, beliau kesal kerana kecuaian pihak kontraktor, Servis Master (M) Sdn. Bhd dan Gading Kencana Sdn.Bhd telah menyebabkan penduduk kampung terdedah kepada bahaya keracunan plumbum setelah kesemua bateri lead acid plumbum meletup pada 1 Oktober 2010.

‘Kejadian pada sekitar jam satu petang hari sabtu itu menyebabkan penduduk trauma sehingga kini dan ramai kanak-kanak takut untuk kesekolah sehingga terpaksa dipujuk ibu bapa,” ujar Ambalau lagi yang mengesahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat ada datang untuk memadamkan kebakaran dan mengambil langkah pencegahan pada hari kejadian tersebut.

Bagi membuktikan kesungguhan mereka menentang penggunaan bateri plumbum, sebahagian kanak-kanak sekolah telah mengadakan tunjuk perasaan secara aman kerana mereka tidak mahu menjadi mangsa konspirasi pihak tertentu yang mengaut keuntungan di atas nasib malang yang bakal menimpa mereka.

“Ini keputusan ibu bapa secara muktamad. Kita memang bantah bukan sahaja plumbum malah apa juga yang membahayakan anak-anak kita. Walaupun ibu bapa kurang pelajaran, tetapi daripada siaran CNN yang kami lihat, memang plumbum ini amat berbahaya,” ujar Pengerusi JKKK Kampung Sumambu, Tunas Bin Langit.

Sehubungan itu, Tunas meminta jasa baik Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dapat menyelesaikan isu bekalan elektrik solar hibrid di SK Sumambu kerana bimbang jika pemasangan bateri baru akan menyebabkan letupan berlaku sekali lagi jika letupan pertama belum diketahui puncanya.

“Sekolah hanya dapat elektrik solar satu setengah hari sebelum meletup tetapi kampung ini terdedah kepada bahaya pencemaran plumbum mungkin selama lebih 100 tahun akan datang. Berbaloikah kami membahayakan masa hadapan anak-anak kami?,” tanya Tunas lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raimie Unggi ketika dihubungi memberikan jaminan akan segera melawat kampung berkenaan dan setelah mendapat laporan lengkap daripada Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Pelajaran Sabah berhubung insiden berkenaan.

Kenyataan video Raimie yang dibuat berasingan akan disiarkan dalam SabahkiniTV yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat.

No comments:

Post a Comment