Oleh: KREW SABAHKINI.NET
JABATAN Air Kunak disifatkan sebagai membuang air kencing di kepala pengundi yang telah memilih kerajaan Barisan Nasional pada pilihanraya umum lalu setelah terpedaya dengan janji wakil rakyat Kunak, Datuk Nilwan Kabang bahawa penduduk Kunak akan dibanjiri air paip pada awal tahun ini.
Kini sudah tiga hari Kampung Simpang Empat Kunak tidak memperoleh walau setitik air paip sehingga mereka terpaksa membeli air sekali lagi daripada sumber yang tidak dikenalpasti kebersihannya antara RM50 hingga RM150 bagi satu trip lori tangki.
Ketika Sabahkini.net menghubungi Setiausaha Rukun Tetangga Kampung Simpang Empat, Ibrahim Tabir; beliau mengesahkan dakwaan seorang pengadu, Kalassam, yang mengirim email kepada Sabahkini.net adalah benar.
Menurut Ibrahim, walaupun Loji Baru Jabatan Air Kunak telah disiapkan pada tahun lalu namun masih belum dapat beroperasi sepenuhnya tanpa sebab yang dapat dikenalpasti.
“Paip kita hanya keluar angin macam kentut sahaja, tetapi tidak ada setitik air keluar. Kita tidak ada sebarang tunggakan dan bayar bil air secara tetap, tetapi semua paip tidak berfungsi,” ujar Ibrahim yang merayu agar Jabatan Air membuat pemantauan dan menyelesaikan segera masalah ini.
Ibrahim bagaimanapun tidak dapat mengesahkan punca kenapa bekalan air tidak sampai ke kampungnya tetapi berkata kemungkinan paip utama ditutup pihak tertentu atau berlaku kecurian sehingga tekanan air rendah dan tidak sampai.
Percubaan untuk mendapatkan ulasan Pengarah Jabatan Air gagal kerana cuti umum.
No comments:
Post a Comment