Oleh: ROZIE JUMAT
SEORANG penerima Program Bantuan Rumah (PBR), Thien Tse Vun, sebak dan hampir meleraikan air mata kerana tidak dapat menahan perasaan setelah masalah kemiskinan keluarganya seramai lima orang mendapat perhatian kerajaan sejak memohon rumah tersebut pada 2009.
Thien, dari Kampung Pangas Ulu berkata, seorang anak beliau juga mendapat Bantuan Am dan yang lainnya menerima Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
Kata Thien, beliau merasa amat bersyukur kerana bantuan kerajaan itu telah meringankan beban yang ditanggungnya, sekaligus memberikan semangat yang positif kepada beliau sekeluarga untuk mempertingkatkan lagi taraf hidup keluarganya.
Menurut Thien, 52, seorang petani, sebelum ini beliau dan keluarganya tinggal di rumah bambu dalam keadaan serba daif dan kurang menyelesakan.
Namun katanya, hidupnya kini berubah dan bertambah positif kerana kerajaan telah membantunya dengan memberikan bantuan sebuah rumah yang kini didiami oleh keluarganya.
"Terus terang saya katakan sejak dari bujang hinggalah berkeluarga sekarang, sudah banyak parti bergilir-gilir mentadbir kerajaan, namun kerajaan (Barisan Nasional) banyak membantu seperti bantuan PPRT dan anak saya sendiri mendapat bantuan am," kata Thien.
Beliau yang mempunyai empat orang anak itu berkata beliau telah mendaftar untuk memohon rumah PBR pada tahun 2009 dan pada tahun lalu rumah itu telah diserahkan kepadanya.
"Kerajaan tidak pilih kasih , nama saya nama Cina tetapi mereka (kerajaan) tolong saya juga. Ini membuktikan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kaum kerana rakyat adalah keutamaan," kata Thien yang hampir menitiskan airmatanya ketika ditanya tentang latarbelakang keluarganya.
Oleh itu kata Thien, tujuan beliau untuk menemui akhbar adalah bertujuan untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang benar-benar berusaha membasmi kemiskinan terutamanya penduduk di kawasan luar bandar sepertinya.
"Saya benar-benar merasakan pertolongan itu, dan saya juga ingin memberitahu kepada orang tiounghua yang serba kekurangan seperti saya, kerajaan sentiasa membantu tanpa pilih kasih, oleh itu ambillah peluang ini untuk hidup yang lebih positif." kata Thien.
Tegas Thien, bantuan rumah itu memberi perubahan besar dalam hidup mereka sekeluarga, kerana sebelum ini mereka tinggal dalam rumah bambu dan rasa rendah diri bergaul dengan orang ramai.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu saya sehinggalah mendapat rumah ini, termasuklah Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung yang prihatin kepada keluarga saya," kata Thien.
Tambah Thien lagi, kalau bukan kerajaan Barisan Nasional mereka tidak akan dapat menikmati rumah yang cukup selesa.
No comments:
Post a Comment