Oleh: HAFIZ JAMAIL
KERAJAAN digesa menguatkuasakan Akta Gaji Minima Sektor Perladangan di Sabah bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di Sabah yang begitu meruncing kerana kebergantungan kepada buruh asing sehingga ekonomi Sabah begitu merudum jatuh apabila banyak hasil ladang tidak dapat dituai.
“Jika negara miskin seperti Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh dan Vietnam boleh menguatkuasakan Akta Gaji Minima, kenapa kita tidak boleh laksanakan? Apa agenda di sebalik keengganan Kerajaan ini?,” tanya Naib Ketua Bahagian PKR Batu Sapi, Zainuddin Hassan ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah yang meminta majikan utamakan pengambilan anak tempatan dalam segala sektor sebelum mengambil pekerja asing.
Namun kata Zainuddin, faktor gaji dan kemudahan asas menyebabkan pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja di sektor perladangan dan perkilangan yang ditinggalkan buruh asing yang selama ini mendominasi tenaga kerja di Sabah.
“Jika ladang menawarkan gaji RM900 sehingga RM1,000 sebulan, saya fikir semua penduduk tempatan akan berebut untuk bekerja di ladang kelapa sawit yang kini hampir menjadi hutan rimba,” ujar Zainuddin lagi bagi menyimbangkan dengan kenaikan harga barang dan menampung kos hidup yang tinggi.
Pemilik ladang tidak akan mengalami kerugian seperti sekarang, kata Zainuddin, sekiranya mereka mengubah sikap dan mengutamakan penduduk tempatan dengan merangka skim gaji baru dan cola serta persekitaran kerja yang memuaskan.
“Sekalipun gaji agak mahal tetapi mereka akan kekal bekerja dan margin keuntungan boleh berganda disebabkan tidak perlu membayar levi yang tinggi,” tegas Zainuddin yang mendesak Kerajaan Negeri menguatkuasakan Akta Gaji Minima dalam keadaan darurat seperti sekarang kerana pelabur akan gulung tikar dan meninggalkan ladang mereka.
No comments:
Post a Comment