Saturday, 29 January 2011

MASYARAKAT MAJMUK NEGARA INI BERTUAH


MENTERI Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Haji Nasir Tun Sakaran, menyarankan agar masyarakat Tionghua terus menghayati konsep 1Malaysia dalam konteks kebudayaan dan kehidupan harmoni kaum berteraskan budaya bangsa yang mengutamakan perpaduan sebagai pemangkin ke arah kehidupan rakyat lebih aman dan makmur di negara ini.

Katanya, tanpa perpaduan kaum sudah pasti rakyat negara ini tidak dapat menikmati kemakmuran hidup serta pembangunan seperti yang dikecapi hari ini.

Nasir berkata, rakyat majmuk negara ini cukup bertuah walaupun berlainan suku bangsa, anutan agama dan perbezaan ideologi politik namun hidup rukun damai serta saling hormat-menghormati budaya hidup masing-masing.

Ujarnya lagi, semangat muhibbah ini jelas terserlah melalui semangat kunjung mengunjung semasa sambutan perayaan sesuatu kaum seperti Hari Raya Aidilfitri;Hari Natal; Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Nasir menjelaskan, ini menunjukkan rakyat negara ini semakin matang dan mementingkan semangat toleransi kaum demi sebuah kehidupan aman, makmur dan selamat berteraskan semangat muhibbah dan gagasan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang,meminta semua rakyat menjaga serta mempertahankan hubungan muhibbah itu demi kestabilan politik serta kemajuan pembangunan yang semakin pesat khususnya dalam bidang pembangunan infrastruktur dan sosio ekonomi.

Beliau berkata demikian sempena menyampaikan sumbangan Kepala Singa kepada Persatuan Peniaga-Peniaga Cina Semporna (SCCC) dan Persatuan Fook Siew Semporna.

Sumbangan daripada kerajaan negeri itu disampaikan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina 2011 yang akan bermula awal minggu depan.

Hadir sama sempena majlis itu Pegawai Daerah Semporna, A.M.Ibnu A.K.Baba; Setiausaha Eksekutif Majlis Daerah Semporna Haji Jaafar Ahmad, Pengerusi SCCC, Datuk Seri Panglima Gan Sau Wah; Pengerusi Persatuan Fook Siew Semporna, Datuk Chao Yan San, Kapitan Cina Kawasan Senallang, Ong Hang Seng dan Kapitan Cina Kawasan Bandar, Joseph Lo serta ahli-ahli persatuan.

Nasir berkata, Daerah Semporna yang kaya dengan hasil laut dan menjadi hub destinasi pelancongan semakin membangun bukan sahaja mampu melonjakkan nama negara ke arena antarabangsa melalui keindahan pulau dan dasar lautnya malah menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelancongan asing ke negara ini.

Justru itu, katanya semua rakyat perlulah mengambil bahagian dan lebih prihatin menjaga kebersihan serta mempertahankan kebudayaan masing-masing.

"Kita berharap melalui sambutan perayaan kaum masing yang disambut bersama saban tahun akan lebih mengeratkan lagi hubungan mesra antara kaum," kata Nasir.

No comments:

Post a Comment