Thursday 27 January 2011

RADIN DESAK JKKK DAN KK PROAKTIF


TINJAU…Radin sedang meninjau tebing sungai Kg Ponontomon yang mengalami masalah hakisan tebing dan saliran.

Oleh: MAIL MATHEW

PEMBANTU Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh menggesa pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta para Ketua Kampung (KK) agar memberi komitmen yang serius berhubung masalah rakyat di sesuatu kawasan berhubung kepincangan pembangunan supaya dilaporkan segera kepada pihak jabatan yang berkaitan.

Katanya, mereka (JKKK dan KK) tidak perlu melengah-lengahkan masalah tersebut kerana kuasa sudah ada di tangan mereka untuk melakukan sesuatu untuk dimajukan kepada pihak jabatan yang berkenaan.

“Kita mahu bertindak proaktif untuk menangani sebarang masalah rakyat dengan pantas. Jangan guna istilah ‘tunggu dulu’ atau ‘dalam perhatian’ sebaliknya bangun dan jalankan tugas turun padang untuk jalankan pemeriksaan,” kata beliau dalam satu kenyataan di Tenomi selepas melakukan lawatan ke tujuh kampung dalam kawasan DUN Melalap dalam program turun padangnya, kelmarin.

Radin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Melalap seterusnya berkata, beliau akan terus melakukan program turun padang di kawasannya dari semasa ke semasa untuk meninjau dengan sendiri kepincangan yang berlaku di kawasannya supaya tindakan segera dapat dilakukan.

Tegasnya, meskipun perancangan yang telah diatur di peringkat pembuat dasar yang melibatkan beliau sendiri berhubung dengan pembangunan yang disasarkan kepada suatu kawasan yang diutamakan, namun kelemahan di pihak pelaksana sering melakukan kelalaian dalam proses pelaksanaan menyebabkan sesuatu pembangunan yang telah dirancang lambat disiapkan.

“Itu sebab kita mahu semua JKKK atau KK bertindak bijak dan cergas malah mereka mestilah peka tentang masalah ini kerana mereka berada di kawasan akar umbi yang sepatutnya lebih arif segala masalah itu, sambil itu mereka harus merancang apa perlu dilakukan untuk menangani masalah itu,” tegasnya lagi.

Turut serta dalam lawatan itu Pemimpin Kemajuan Rakyat Melalap Blasius Mosuning, kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Melalap dan Ahli Jawatankuasa Bahagian PBS Melalap.

No comments:

Post a Comment