Tuesday 18 January 2011

KERAJAAN BN IKTIRAF PERANAN BAJAU?




SUMPAH… Salleh sedang mengangkat sumpah di hadapan Yang Di Pertua Negeri Sabah, Datuk Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu kelmarin sambil disaksikan Musa.

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

KERAJAAN Barisan Nasional kini mengiktiraf peranan kaum Bajau yang merupakan pengundi majoriti terbesar di Sabah melalui perlantikan kaum tersebut ke jawatan Menteri Kabinet, Speaker Dewan Rakyat, Timbalan Speaker Dewan Negara, Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah dan terkini Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah kerana selama ini kaum Bajau agak terpinggir daripada memegang jawatan tinggi kerajaan dan politik.

Dengan pertambahan ekuiti Bajau dalam Kerajaan Malaysia, maka kaum yang terpinggir dan menjadi mangsa birokrasi akan terus terbela di bawah kepimpinan Musa Aman dan mula disegani oleh pemimpin Pusat yang memperlekehkan kaum tersebut sebelum ini.

Perlantikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-8 sebagai pengiktirafan berganda kepada komuniti Bajau di Sabah setelah perlantikan Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin sebagai Yang Di Pertua Negeri Sabah.

“Salleh bagaikan ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya kerana sekalipun beliau mantan Ketua Menteri Sabah yang kesembilan sanggup mengambil alih tugas penting sebagai Speaker DUN Sabah,” tegas Kunsul yang menyifatkan perlantikan ini sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ dan menjadi ‘Kuota Tradisi’ khas untuk kaum Bajau.

Dalam pada itu, Salleh yang menandatangani watikah perlantikan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Abdul Rahman Sebli, sambil disaksikan Juhar dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Salleh yang dilahirkan pada 7 Julai 1957 di Kota Belud, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Simon Fraser University of Kanada dan Ijazah Sarjana Politik dan Kerajaan daripada Universiti Putra Malaysia.

Sebelum ini, beliau merupakan Penasihat Sains kepada Ketua Menteri Sabah.

No comments:

Post a Comment