Sunday, 30 January 2011

SAPP SUDAH MULA GERAK JENTERA



LAWAT…Jimmy bersalaman dengan penjaja Pasar Tenom sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah memberitahu bahawa jentera bahagian parti itu di Tenom sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya mengejut akan diadakan pada bila-bila masa sepertimana khabar angin yang kini bertiup kencang pada ketika ini.

Tegasnya, sebelum ini pun bahagian itu sudah menggerakkan jentera pilihanrayanya yang bermula awal tahun ini; antaranya program ‘masuk kampung’, satu-satunya program yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Program tersebut, tegas Jimmy merupakan satu kerangka khas untuk menyalurkan idelogi parti berhubung misi dan visi termasuk perjuangannya untuk mengembalikan kuasa autonomi demi menjaga hak-hak asasi rakyat di negeri Sabah.

“Kita mahu rakyat benar-benar memahami perjuangan SAPP dan tidak mahu melihat rakyat dipesongkan lagi dengan pelbagai isu yang diputarbelitkan termasuk mengelakkan mereka terperangkap dengan janji-janji semanis madu lebah yang diungkapkan di bibir mereka,” kata beliau kepada Sabahkini.net.

Jimmy berkata demikian sejurus selesai mengadakan kunjungan ke kedai-kedai menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang diiringi beberapa pemimpin bahagian parti itu melakukan kunjungan ke kedai-kedai termasuk penjaja pasar untuk menyampaikan ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada masyarakat Cina yang bakal menyambut perayaan Tahun Baru Cina (TBC) yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Mereka memulakan kunjungan itu kira-kira jam 9 pagi dari pintu ke pintu kedai bersalaman dengan para pemilik kedai sambil menyerahkan kad ucapan TBC. Para pelanggan kedai yang juga pelalu lalang di situ tidak terkecuali bersalaman dengan pemimpin SAPP itu sambil menerima kad tersebut.

Turut sama dalam rombongan Jimmy itu terdiri daripada Rudy Sulaiman Mairi Naib Ketua Pergerakan Pemuda SAPP Pusat; Said Kaspan Setiausaha Bahagian SAPP Melalap, Pemimpin SAPP Kemabong Saul Salleh;, Pegawai Penerangan SAPP Kemabong Ungkau N.C Sandig dan beberapa pemimpin parti itu di peringkat akar umbi.

No comments:

Post a Comment