Sunday, 23 January 2011

KEKALKAH GELARAN FIXED DEPOSIT SABAH?



Oleh: JACKSON LU

PENGUMUMAN peruntukkan sejumlah RM10.72 billion untuk menjana kos pelaksanaan 424 projek baru dalam RMK-10 di Sabah dalam fasa pertama antara tahun 2011 hingga 2012 sebagai putaran di bawah rancangan itu; agak merimaskan dan membingungkan rakyat kerana semasa pengumuman itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tidak menyatakan dengan jelas senarai projek-projek baru yang dimaksudkan.

Meskipun pengumuman itu turut melegakan banyak pihak khususnya pemimpin pemimpin UMNO-BN kerana limpahan peruntukkan yang diumumkan itu, berkemungkinan akan melenakan seketika rakyat jelata di setiap kawasan; namun di sebaliknya ia membuatkan rakyat tidak cukup tidur kerana berfikir semalaman apakah peruntukan itu benar-benar akan sampai ke sasarannya atau sekadar sandiwara politik menjelang PRU13?

RAKYAT tidak akan percaya lagi apa pun bentuk pengumuman Ketua Menteri kerana semua itu merupakan suatu ‘gimik’ politik dan kalau pun ia suatu kebenaran ia tidak lain selain menyuntik dana kepada pemimpin ‘grass root’ dalam menyempurnakan misi mereka untuk menyelamatkan gelaran ‘Fixed deposit’ yang semakin pudar setakat ini yang bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Borneo.

Rakyat tidak lagi boleh dimomokkan dengan janji-janji keramat itu kerana semua itu untuk mengisi penuh poket yang kosong untuk meneruskan ‘survival’ politik mereka, lebih-lebih lagi PRU13 semakin menghampiri detik dan ketikanya untuk menguji ‘sengat berbisa’ yang kononnya masih ada, kepada UMNO-BN untuk menyekat kemaraan gandingan mantap pembangkang UBF, PR dan SAPP di gelanggang politik PRU13 yang semakin mendapat sambutan rakyat Borneo.

Seperti juga rakyat Sabah yang pernah dimalukan selepas insiden kerajaan PBS ditumbangkan secara tidak bermoral pada tahun 1994, dipercayai didalangi UMNO-BN, kini pemimpin Sarawak Datuk Daniel Tajem bangkit dengan membawa SNAP sebuah parti yang diasaskan mantan Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan.

Stephen yang terpaksa turun takhta kerusi KM pada tahun 1967 atas kehendak kerajaan Pusat dan sekarang bersama UBF dan PR menggugat kepimpinan BN Sarawak pimpinan Tan Sri Taib Mahmud pada PRU13.

Kehadiran UBF dan Datuk Tajem dalam menggerakkan pembangkang baik di Sabah mahupun Sarawak memberikan suntikan semangat politik yang berkobar-kobar kepada rakyat di kedua dua negeri yang berada di wilayah Borneo.

Kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak mempunyai persamaan sejarah politik yang pernah dialaminya iaitu selain penyingkiran KM Sarawak yang sah dipilih rakyat malah terus tertindas dengan mendapat hak asasi sepertimana Perjanjian Malaysia; khususnya penolakan 20 Perkara.

PRU13 yang akan menjelang tiba sudah tentu ia akan menjadi suatu ujian getir kepada rakyat Sabah, sama ada terus mengekalkan UMNO-BN untuk terus bertapak di bumi Sabah atau sebaliknya. Namun laungan demi laungan rakyat Sabah sudah memberi petanda bahawa PRU13 akan bersuaralah rakyat Sabah dengan mengatakan ‘No’ kepada UMNO-BN yang cukup memeritkan perasaan rakyat Sabah selama hampir 20 tahun.

Alasan rakyat Sabah mengapa perlu menceraikan UMNO-BN dengan politik talak satu sudah tentulah jawapannya “enough is enough, kami mahu memulihkan maruah Sabah yang telah tercemar dengan pelbagai karenah politik yang tergelincir daripada landasan sebenar”.

Insiden yang berlaku dalam sejarah politik Sabah sejak di zaman kerajaan USNO pimpinan Allahyarham Tun Mustapha; zaman Parti Berjaya pimpinan Allahyarham Tun Fuad Stephen dan PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang terpaksa tumbang pada tahun 1994 selepas membentuk kerajaan beberapa bulan gara-gara beberapa wakil rakyatnya melompat ke UMNO dan BN; cukup memberi pengalaman pahit dan ‘dukacita’ kepada rakyat Sabah yang cintakan ‘keamanan, keadilan dan demokrasi yang subur’.

No comments:

Post a Comment