Monday 10 January 2011

HENTIKAN KENAIKAN CUKAI PINTU DI TENOM



Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah (gambar) menggesa Majlis Daerah Tenom (MDT) agar tidak secara wewenang menaikkan kadar cukai pintu secara mendadak sehingga mencecah 70 peratus kerana amat membebankan pemilik premis.

Katanya, beliau tidak menafikan niat baik MDT untuk menaikkan kadar percukaian itu yang berpaksikan kepada hasrat penambahbaikan perkhidmatan dengan pengukuhan kewangan, namun ia perlu dilakukan dengan tidak membebankan pembayar cukai pintu.

“Jangan bebankan kos kepada mereka. Serap kos dan kurangkan pembaziran. Kita faham niat MDT, tapi mereka mesti dengar rayuan pembayar cukai kerana ekonomi Tenom begitu merudum akibat kemelesetan ekonomi sejak beberapa tahun lalu,” tegas Jimmy.

Tegas Jimmy, beliau bersimpati dengan keluhan beberapa pekedai yang datang menemuinya dan menyatakan masalah mereka kerana sejak tahun 2008 lagi mereka dibebankan dengan cukai pintu yang begitu tinggi antara RM2,000 sehingga RM3,000; namun MDT enggan mempertimbangkan rayuan mereka.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC Melalap seterusnya berkata, memandangkan kutipan bayaran cukai salah satu kemestian kepada setiap pembayar cukai dalam kawasan perkadaran, sudah pastilah ia terus merumitkan kedua-dua pihak (majlis dan pembayar cukai) dan menggesa agar MDT mencari formula penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.

“Mungkin juga ada pembayar cukai yang mempunyai bayaran tertunggak tetapi skim bayaran ansuran boleh dijana agar tidak membebankan mereka,” kata Jimmy yang yakin dan percaya kerajaan akan terus mengaplikasikan slogan mereka yang mendahulukan rakyat dalam semua urusan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

No comments:

Post a Comment