Sunday 30 January 2011

ISU CUKAI PINTU AKAN DISELESAIKAN SEGERA



TERIMA….Raimie menerima cenderahati daripada Pengerusi Penganjur Kapitan Liew Foh Sin, kedua kiri.

Oleh: MAIL MATHEW

AHLI Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raimie Unggi menegaskan bahawa beliau akan mempastikan setiap aduan yang dikemukakan oleh para pekedai sebelum ini berhubung kelembapan perkhidmatan yang melibatkan sistem perparitan dan pembentungan di kawasan perkadaran Majlis Daerah Tenom akan disiasat dan diambil tindakan segera.

Katanya, bukan sahaja setakat menyahut slogan Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat, tetapi juga sudah menjadi tanggung jawab mereka selaku wakil rakyat untuk menangani masalah seperti itu yang memerlukan tindakan tuntas.

“Kita juga turut menimbang masalah perkadaran cukai pintu yang kini menjadi persoalan pokok bagi mereka yang mendiami kawasan perkadaran,” kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin ketika merasmikan Perayaan Tahun Baru Cina (TBC) tahun 2011 dan Tarian Naga Unicorn serta tarian singa di Dewan Seri Antenom petang tadi.

Tegasnya lagi, ketika sesi kunjungan ke premis-premis perniagaan, Raimie tergamam seketika apabila terdapat segelintir peniaga yang mengemukakan masalah tersebut (perkadaran cukai pintu dan juga masalah perparitan) yang didakwa mereka sehingga kini belum selesai ditangani oleh pihak berkuasa tempatan.

“Mereka memerlukan khidmat kita, Insyallah tiada masalah. Kami tiga wakil rakyat di sini akan berbincang mencari kaedah penyelesaian masalah tersebut dalam masa terdekat dan diharap mereka tabah dan bersabar menunggu,” tegas Raimie.

Dalam pada itu, ketika menyentuh perayaan TBC, beliau menyifatkan perayaan TBC yang diamalkan setiap tahun di sini satu-satunya komitmen terbaik pihak penganjur dalam memupuk perpaduan dan semangat persaudaraan yang jitu di kalangan kepelbagaian suku kaum bagi melestarikan konsep 1Malaysia.

KELILING….Raimie (ketiga dari kiri) berarak mengelilingi pekan bersama pemimpin lain sebelum perasmian.

Tegas Raimie, negara majmuk khususnya di Malaysia, telah menjadi contoh kepada negara-negara lain berhubung kejayaan dan kemampuannya menyatupadukan rakyatnya tanpa konflik kaum kerana sikap rakyat negara ini yang bertoleransi, saling hormat menghormati adat resam dan agama sesuatu kaum.

“Kita juga merayakan perayaan Hari Krismas bagi umat Kristian, Hariraya Puasa bagi masyarakat Islam, Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan dengan perasaan muhibbah tanpa memperkecil-kecilkan mereka. Kita anggap mereka setara mustahaknya,” jelas Raimie.

“Dalam usaha menjadi tuan rumah sebarang perayaan pun, kita kena gilir-gilir antara tiga wakil rakyat di sini. Tahun lalu dan sebelumnya, Datuk Rubin dan Datuk Radin menjadi tuan rumah dan pada tahun ini giliran saya pula,” tambahnya lagi.

Hadir sama dimajlis itu, Datuk Radin Malleh, Datuk Rubin Balang, Jamawi Jaafar, Ahli Majlis Tertinggi LDP Ng Tet Hau, Ketua Polis Daerah Tenom DSP Mazlan Haji Lazim, OKK David Jani, ADO Kemabong Fredian Gan, Datuk Teo Min Chung Presiden Dewan Perniagaan Cina Tenom, Penasihat Majlis Kapitan Wong Tet Yun, para Kapitan dan pemimpin Parti Komponen Barisan Nasional Tempatan.

No comments:

Post a Comment