Thursday 6 January 2011

ME'YAHUDI'KAN MDLD ATAU MENDAHULUKAN RAKYAT?


DEMO...Para peniaga terpaksa mengadakan demonstrasi secara aman setelah rayuan mereka diabaikan dan media enggan melaporkan nasib mereka.

Oleh: AL ASRIN AL KANTA

TINDAKAN Majlis Daerah Lahad Datu membatalkan serta-merta lesen dan menjalankan operasi rampasan terhadap penjaja-penjaja Pasar Rombengan @ Pakaian Terpakai dan kesemua penjaja yang berniaga di Dataran Sedco amatlah di kesali. Dengan tibanya tahun baru 2011, genaplah 2 tahun pembatalan lesen peniaga yang telah berniaga hampir 30 tahun di Dataran Sedco.

Paling menyedihkan, sehingga kini, tapak yang di janjikan masih belum dimaklumkan kepada peniaga setelah notis larangan yang bertarikh 9 september 2010 dikeluarkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penaiktarafan DATARAN SEDCO kepada Dataran PALMA. Apalah erti pembangunan jika perlu mengorbankan periuk nasi dan punca rezeki peniaga yang berjumlah 189 orang yang terdiri daripada Bumiputera dan warganegara.


YAHUDI....Inilah tapak swasta yang bernilai RM300 bagi kawasan seluas tandas awam 10X10 kaki.


“Kita tidak tahu apakah tindakan ini cuba Meyahudikan MDLD atau mendahulukan rakyat bagi menjayakan agenda Yahudi iaitu memangsakan rakyat miskin yang tidak berdosa san mengkayakan Lintah Darat?” tanya seorang peniaga yang sudah 30 tahun berniaga di Dataran Sedco, namun dipancung rezekinya sekelip mata.

Setakat ini, MDLD telah memanggil peniaga untuk sesi dialog sebanyak 3 kali dan keputusan yang diambil oleh pihak MDLD ialah mencadangkan peniaga untuk menyewa tapak daripada 'LINTAH DARAT' iaitu Pemaju Swasta yang jelas mengambil kesempatan dengan mengenakan kadar sewa yang sangat tinggi dan di luar kemampuan peniaga iaitu RM300 sebulan serta bayaran deposit untuk 2 bulan sebanyak RM600 sebagai pendahuluan untuk 1 kanopi yang berukuran 10 x 10 kaki, berbanding sewa RM15 untuk tapak berniaga di Dataran Sedco sebelum ini.

Tapak tersebut terlalu kecil untuk berniaga menjual pakaianterpakai, ditambah lagi dengan keadaan tapak yang menakung air apabila hujan turun. Sewa yang sangat mahal adalah tidak berbaloi dengan kemudahan yang di sediakan oleh pemaju.


KEJAM....Penguatkuasa MDLD yang merampas barang peniaga tempatan tetapi gentar dengan pendatang asing.

Yang pasti, kadar sewa dan keadaan tapak perniagaan amatlah tidak sesuai dan jelas hanya mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan besar. Peniaga telah cuba berunding dengan pihak pemaju untuk menurunkan kadar sewa namun pihak pemaju enggan menerima permintaan peniaga dengan alasan kos pelaburan yang besar telah dibelanjakan.

Para peniaga telah mengajukan masalah secara terperinci kepada MDLD melalui surat bertarikh 8 september 2010, namun balasannya amat mengecewakan. MDLD menggunakan alasan Peniaga-peniaga menyebabkan kekotoran selepas berniaga di Dataran Sedco. Punca kepada sampah yang bersepah adalah kerana tidak ada tong sampah disediakan oleh MDLD.

Dalam sesi dialog bersama peniaga yang diadakan di Dewan Tun Mustapha, Pegawai Daerah Lahad Datu, Haji Zulkifli bin Nasir dengan angkuhnya memaklumkan peniaga tidak berhak menuntut atau meminta apa-apa daripada MDLD.

Persoalannya, di manakah konsep 1Malaysia yang mewar-warkan rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan? Yang menghairankan mengapa pihak MDLD meluluskan permohonan tapak Parking Dewan Tun Mustapha kepada penasihat LDP, Lim Hang Yong yang ditandatangani oleh penolong pegawai eksekutif MDLD Haji Dardi bin Haji Sawal untuk dikontrakkan kepada peniaga yang ketiadaan tempat untuk tapak seluas 8x8 kaki?Nampaknya Pihak MDLD lebih suka berurusan dengan orang perseorangan berbanding peniaga yang mereka sedia maklum telah berniaga hampir 30 tahun di Dataran Sedco.


PRIHATIN...Siapakah yang akan prihatin dengan mereka jika semua pemimpin telah membutakan mata mereka?


Peniaga telah cuba meminta campurtangan ADUN Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur kerana sebahagian besar daripada peniaga adalah pengundi berdaftar kerana beliau pernah mengeluarkan surat sokongan bertarikh 11 Disember 2008 untuk peniaga meneruskan perniagaan sehingga ada tapak baru, namun setelah Notis Larangan di keluarkan, MDLD menjalankan operasi rampasan pada awal bulan November 2010 terhadap peniaga yang berdegil untuk terus berniaga kerana terpaksa untuk menyara kehidupan mereka.

Peniaga telah berusaha sekali lagi untuk mendapatkan bantuan daripada Datu Nasrun namun beliau tidak memberi sebarang respon sehingga kini. Berbeza dengan YB Salleh Kalbi yang menunjukkan keperihatinan dengan cuba untuk berunding mengurangkan harga sewa dan mempersoalkan kadar sewa yang mahal. Namun sehingga kini tidak juga berhasil.

Ramai peniaga yang terpaksa berhenti berniaga kerana tidak mampu untuk membayar sewa tapak yang ditawarkan oleh pemaju swasta. Setelah hampir sebulan lebih notis larangan berniaga, peniaga menghadapi masalah untuk menjelaskan hutang perniagaan kerana sebahagian dari pada peniaga mendapat bantuan pinjaman perniagaan daripada Tekun, Amanah Ikhtiar, Agrobank dan Yayasan Usaha Maju.

Alangkahnya malangnya nasib Peniaga yang terdiri dari Bumiputera dan warganegara sehingga kini tidak mendapat sebarang pembelaan. Apa yang mereka inginkan hanya tapak yang sesuai untuk berniaga dan tidak mampu merasuah MDLD untuk mendapat tapak konsesi!.


SWASTA.... Tapak swasta kedua diluluskan kepada orang perseorangan sedangkan peniaga tempatan bagaikan burung kehilangan sarang.


Sehubungan itu, para peniaga merayu campur tangan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor agar Para Peniaga diberi tapak yang sesuai dengan kemampuan mereka dan berdekatan bandar.

“Jika terdapat Petaling Street di Kuala Lumpur, kenapa tidak gunakan sahaja Jalan di hadapan Pejabat Pos Lama sebagai tempat untuk kami berniaga dengan nama Lahad Datu Street. Jadikan tempat berniaga yang tetap. Boleh juga menarik pelancong,” ujar Mokhtar Salumang, salah seorang AJK Bertindak.

Para peniaga juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kaedah pemberian konsesi tapak niaga kepada individu dan syarikat swasta kerana dikhuatiri dibuat secara tidak telus sehingga membelakangkan nasib peniaga bumiputera yang nasib mereka lebih malang daripada pendatang asing tanpa izin yang bebas berniaga di Pasar Rakyat Lahad Datu.

No comments:

Post a Comment