Friday 7 January 2011

MPS PERSULITKAN PEMBAHARUAN LESEN BERNIAGA?



WAWANCARA.... Penulis (kiri) sedang mewawancara Mohd Shah berhubung desakan MPS agar peniaga membekalkan dokumen terbaru syarikat sendirian berhad sebelum pembaharuan lesen berniaga mereka dapat diperbaharui.

Oleh: CHANG SHAK HUNG Foto: SHAIMON S JUMADI

BERIKUTAN pelbagai rungutan dan masalah yang dibangkitkan oleh para peniaga kepada Wartawan Sabahkini.net, Chang Shak Hung berhubung dengan pembaharuan lesen berniaga oleh pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk tahun 2011, telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Unit Pelesanan MPS, Mohd Shah Ali Hassan untuk mendapatkan gambaran jelas di samping mengajukan permasalahan mereka pada hari ini.

Menerusi aduan yang diterima, peniaga yang menjalankan perniagaan berstatus Sendirian Berhad telah diminta oleh pihak kakitangan pelesenan untuk membawa dokumen seperti Borang 24, 44 dan 49 untuk tujuan memperbaharui lesen berniaga mereka. Ini akan menyukarkan para peniaga untuk menyediakan dokumen-dokumen tersebut yang sebelum ini tidak pernah diminta untuk berbuat demikian kerana mereka telah serahkan dokumen berkenaan ketika mengemukakan permohonan dahulu.

Melalui penjelasan Mohd Shah, MPS kini sedang menjalankan ‘Sandakan Municipal Council Integrated System’ sejak 2 Disember 2010 yang memerlukan pengemaskinian data dalam sistem pengkomputeran dan sistem data untuk lesen berniaga tidak terkecuali.

Pengemaskinian sistem tersebut begitu membebankan para peniaga yang tidak mempunyai masa untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan MPS sekalipun ia boleh didapatkan dengan mudah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Setiausaha Syarikat; melainkan jika terdapat sebarang perubahan dalam syarikat mereka.

Bagaimanapun, untuk permohonan baru bagi lesen berniaga tanpa Sendirian Berhad, mereka diwajibkan untuk menggunakan sepenuhnya satu bahasa sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Contohnya, mereka tidak dibenarkan menggunakan nama syarikat ‘Kedai Kopi Healthy’ memandangkan ia gabungan perkataan Inggeris dan Melayu. Penggunaan di dalam syarikat Sendirian Berhad adalah dibenarkan memandangkan ia telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Namun demikian, Mohd Shah meminta kerjasama daripada peniaga yang ingin memperbaharui lesen berniaga, supaya bersabar memandangkan penggunaan sistem baru ini di peringkat permulaan dan mempunyai kelemahan dari segi maklumat yang tertera di dalam lesen berniaga.

Antaranya nama premis tidak tertera, sungguhpun lesen perniagaan terdahulu mempunyai maklumat berkenaan. Selain itu juga, nama pemilik atau pengurus mungkin tidak tertera dalam lesen berkenaan.

Namun para peniaga masih menaruh harapan yang tinggi agar MPS memperbaharui dahulu lesen mereka dan memberikan masa tertentu kerana usaha mengemaskini data memerlukan masa yang agak lama dan tidak memerlukan dokumen berkenaan secara terdesak.

“Perbaharui dahulu lesen kami. Bagi satu tempoh untuk kami hantar semua dokumen yang diminta kerana semua data asal kami ada dalam fail dan daftar lesen berniaga yang telah dikeluarkan selama ini,” ujar seorang peniaga bernama Wong, sekadar merayu simpati.

No comments:

Post a Comment